Viral Rakaman Lelaki Bertopeng Samun, Tikam Pekerja Kedai Aiskrim
Seorang pekerja sebuah kedai aiskrim berdepan detik cemas apabila hampir maut selepas ditikam seorang individu bertopeng.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku di Taman Sri Muda, kira-kira 11.30 pagi pada pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa yang merupakan wanita warga tempatan berusia 21 tahun sedang bekerja seorang diri di kedai terbabit dalam kejadian.
“Mangsa yang ketika itu bekerja seorang diri sementara menunggu rakannya masuk bertugas didatangi suspek lelaki memakai pelitup muka serta bersenjatakan pisau pemotong kertas.
“Suspek bertindak agresif dengan menikam mangsa yang cuba mempertahankan dirinya,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Lelaki bertopeng samun dan tikam wanita pekerja kedai ais krim
Tambah Mohd Iqbal lagi, wanita berkenaan kemudian dibawa untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Shah Alam.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dengan tiga kesan torehan akibat tikaman itu dibenarkan pulang kira-kira jam 1 pagi selepas mendapatkan rawatan.
“Setakat ini tiada sebarang kerugian dialami mangsa atau syarikat tempat mangsa bekerja,” ujarnya lagi.
Tambah Mohd Iqbal, kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di lokasi kejadian berjaya merakam wajah suspek.
Polis giat kesan suspek
“Usaha giat dijalankan pihak polis untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013 6544996,” kata Mohd Iqbal.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
BACA: “Rider” Meninggal Dunia Didakwa Tahan Lapar Dua Hari, Duit Tak Ada Nak Makan
Sumber: Sinar Harian