Lori Tangki Diesel Dijilat Api, Pasukan Bomba Ambil Masa Lapan Jam Padam Kebakaran
Pasukan bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran sebuah lori tangki yang membawa muatan diesel di kawasan bulatan berhampiran Taman Palm Height, Lahad Datu pada Isnin.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang itu menyebabkan pasukan bomba berhadapan cabaran besar apabila api yang telah dipadamkan berulang kali kembali menyala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, memaklumkan bahawa 16 anggota telah dikerahkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai bomba.
“Pemandu lori memaklumkan lori terbabit membawa muatan 10,000 liter diesel. Namun tiada maklumat terperinci bahan api itu dibawa ke mana.
“Operasi memadamkan kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera dan jabatan air serta 10 tong pemadam api jenis buih untuk tujuan mengawal api tersebut.
“Namun sepanjang operasi, kami sudah tiga kali berjaya memadam api tetapi tercetus kembali dipercayai dari dalam paip tangki tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan bomba akhirnya berjaya mengawal kebakaran tersebut sekitar jam 10 malam, dan operasi ditamatkan sejam kemudian.
“Punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak forensik ke lokasi kejadian pagi ini untuk siasatan lanjut.
“Operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan lokasi kejadian selamat digunakan,” katanya.
BACA: Suspek Tikam Dua Wanita Di Tandas Surau Berjaya Diberkas
BACA: Wanita Diragut, Diseret Sejauh 100 Meter Ketika Kejar Peragut
BACA: Dua Remaja Diarah Bela Diri Atas Pertuduhan Asal Membunuh Mohammad Aimin
Sumber: Sinar Harian