Mission: Cross, Filem Aksi Sarat Komedi Santai
Amaran: Tulisan ini mengandungi sedikit spoiler
Bagi peminat filem dan drama Korea Selatan, kemunculan wajah-wajah terkenal seperti Hwang Jung Min dan Yum Jung Ah sudah cukup membuatkan penonton tahu, filem tersebut pasti memuaskan hati.
Gandingan duo Jung Min dan Jung Ah bersama beberapa pelakon yang telah lama dikenali dalam industri perfileman Korea seperti Jeon Hye Jin, Kim Joo Hun, Ok Ja Yeon, Jeong Man Sik, Cha Rae Hyoung, dan Lee Ho Chul sebagai watak sampingan menjadikan filem Mission: Cross arahan Lee Myung Hoon penuh dengan kekecohan dan huru-hara yang mencuit hati.

Filem ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang menjalani kehidupan seperti orang biasa. Hwang Jung Min sebagai Park Kang Mu, merupakan seorang suami kepada detektif, Kang Mi Sun yang dilakonkan oleh Yum Jung Ah. Sebagai suami yang bekerja sebagai pemandu sambilan van tadika, Kang Mu menguruskan hal rumah tangga sementara Mi Sun keluar menyelesaikan kes-kes jenayah.
Seorang yang ceria dan kelihatan seperti penakut, Kang Mu berjaya menyembunyikan kisah silamnya dari pengetahuan semua, termasuk isterinya. Namun, rahsianya telah disalah erti oleh Mi Sun yang mula mengesyaki suaminya curang.

Kemunculan Jang Hee Ju, seorang wanita yang dianggap sebagai orang ketiga dalam perkahwinan mereka rupanya bekas rakan sekerja Kang Mu ketika dia berkhidmat sebagai ejen perisikan suatu ketika dahulu. Pertemuan ini membuatkan Kang Mu sedar, misi terakhir yang mengorbankan salah seorang ahli pasukan mereka sebenarnya masih belum tamat.
Dia perlu kembali bertugas untuk mencari dalang jenayah yang melibatkan Korea Selatan dan Rusia itu. Dalam masa yang sama, dia perlu merungkai misteri kehilangan Kim Jung San, bekas rakan sepasukannya yang dipercayai bapa kepada anak yang dikandung Hee Ju.
BACA: Kenapa Filem Pecah Panggung Dipanggil “Blockbuster”? Ini Jawapannya
Kang Mu memulakan misi carilamat Jung San, dan dalam masa yang sama merahsiakan identiti perisiknya itu daripada pengetahuan Mi Sun. Tanpa Kang Mu mengetahui, Mi Sun secara kebetulan perlu menyelesaikan kes mangsa tembakan yang melibatkan Jung San.
Pertembungan kedua-dua belah pihak suami isteri serta pasukan masing-masing sememangnya membuatkan penonton tidak kering gusi.
Plot dan jalan cerita filem aksi jenaka santai Mission: Cross
Tanpa memerlukan dialog yang panjang lebar, filem ini memperkenalkan watak-watak utama dan sampingan hanya melalui pembinaan jalan cerita. Mi Sun dan ahli pasukannya menunjukkan perwatakan masing-masing di awal filem ketika mereka sekumpulan melakukan penangkapan tokan dadah.
Manakala bagi Kang Mu dan pasukannya pula, pengarah menggunakan kaedah imbas kembali yang diselitkan ketika pengenalan watak. Sepanjang separuh perjalanan cerita, seluruh maklumat dan jalan cerita disusun dengan baik supaya penonton tidak tertanya-tanya terlalu lama.
Namun, plot meruncing pada 40 minit terakhir apabila Kang Mu memulakan misi keduanya. Dia perlu membongkar misteri dalang di sebalik jenayah besar penyelewengan yang berlaku. Ketika itu, dia menyedari bahawa Hee Ju bukan seperti yang disangka selama ini.

Hwang Jung Min dan Yum Jung Ah, dua pelakon yang cukup terkenal mampu membawa watak yang tegas dan menakutkan atau juga kelakar. Dalam filem ini, mereka turut berjaya menyampaikan jenaka biarpun dalam situasi yang haru-biru tanpa membuatkan penonton rasa cringe.
Biarpun pada mulanya, kedua pasangan suami isteri ini kelihatan seperti berat sebelah dan tidak mempercayai satu sama lain, namun filem ini tamat dengan begitu indah. Jenayah yang perlu mereka selesaikan turut sama menyelesaikan masalah mereka yang utama, kepercayaan.
Di permulaan filem, kedua-dua pasangan ini jelas menunjukkan mereka lebih mempercayai rakan sepasukan berbanding teman hidup masing-masing. Namun, di saat peleraian plot, kedua-duanya sedar yang mereka hanya ada pasangan hidup untuk diharapkan ketika maut menjelma.

Sepanjang menamatkan misi, kedua-dua suami isteri ini menonjolkan sifat sebenar yang ada dalam hubungan typical suami isteri ditemani aksi tembak-menembak.
BACA: Filem “Cells At Work!” Bakal Ditayangkan Pada Disember 2024
Biarpun ini filem pertamanya, pengarah dan penulis skrip, Lee Myung Hoon berjaya menyusun babak dan dialog dalam menghasilkan suasana kelakar tanpa rasa kekok. Susun atur jalan cerita yang terjawab di setiap adegan tidak meninggalkan kesan lompong. Malah, pemotongan adegan ketika berlawan membuatkan babak perlawanan ada kesinambungan dari satu tumbukan ke tendangan dan jerutan yang berlaku.
Dalam masa yang sama, perubahan sudut pandangan kamera yang lancar juga membuatkan penonton tidak terasa perubahan mendadak. Biarpun plot perkembangan watak agak cliché, cara penyusunan plot Myung Hoon yang baik membuatkan penonton dapat menyelami perkembangan watak dengan kata-kata, “akhirnya!” dan “pasangan kita lebih mengenali kita.”
Antara yang menarik dalam filem ini, penggunaan lori tangki najis dalam misi carilamat Jung San. Ia merupakan satu bayangan kreatif mengetengahkan jenayah sejijik najis yang terkumpul, dan kemudiannya dikembalikan kepada kumpulan penjenayah.
Bagi pandangan SK, jalan cerita filem ini memang cliché dan boleh dijangka, sama seperti filem aksi yang sedia ada. Malah, tiada plot twist yang memeranjatkan. Namun, rencah aksi dan jenaka yang ditonjolkan sedari awal cerita boleh membuatkan kita kekal duduk di kerusi hingga ke penamat.
Jika anda tertekan dan perlukan sesuatu bagi menghilangkan stres, anda disarankan tonton filem ini kerana ia sememangnya menghiburkan. Jangan lepaskan peluang menonton filem aksi Mission: Cross, yang turut menjadi filem top 10 di Netflix di 11 buah negara ini.
Sediakan keropok, nikmati filem aksi jenaka ini bersama pasangan hidup anda. Filem ini mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak disebabkan mempunyai unsur-unsur ganas.
BACA: Michelle Yeoh Diberi Penghormatan Sampaikan Pingat Kepada Pemenang 3M Papan Anjal
Sumber: Mission: Cross via Netflix