Kenapa Filem Pecah Panggung Dipanggil “Blockbuster”? Ini Jawapannya
Avatar, The Avengers dan Star Wars merupakan antara francais filem yang berjaya mendapat kutipan tertinggi sepanjang masa setakat ini dengan jumlah melebihi jutaan USD.
Filem yang pecah panggung, mendapat sambutan hangat dan mendapat hasil kutipan tiket yang tinggi sering digelar filem blokbuster (blockbuster).
Tetapi tahukah anda apakah kejadian sebenar yang menyebabkan wujudnya perkataan ini? Selain itu apakah kegunaan sebenar perkataan ini sebelum diserap dalam penggunaan bidang hiburan?
Mari ikuti perkongsian di bawah.
Asal usul perkataan blokbuster
Perkataan ini pertama kali diguna pakai pada tahun 1942 dan sebenarnya untuk menerangkan keadaan ketika peperangan.
Tanggal 29 November, Itali diserang dengan bom yang dihantar oleh Kuasa-kuasa Bersekutu ketika itu dengan keupayaan luar biasa.
BACA: Tak Perlu Racun, Ini Cara Halau Semut & Lipas Guna 4 Bahan Mudah
Bom ini mempunyai kebolehan memusnahkan keseluruhan blok-blok bangunan bandar raya. Ketika inilah perkataan blokbuster diguna pakai oleh majalah TIME untuk melaporkan peristiwa pengeboman yang dahsyat ketika Perang Dunia Kedua.
“Perkataan ini pertama kali digunakan dalam halaman TIME pada 29 November 1942. Sebuah artikel yang melaporkan berita serangan bom oleh pihak Bersekutu terhadap sasaran perindustrian utama golongan fasis di Itali.
“Bom-bom yang digunakan ini digelar blokbuster kerana kebolehannya memusnahkan seluruh blok bandar,” lapor TIME.
Sifir mudahnya, ‘block’ bermaksud blok bangunan bandar manakala ‘buster’ ialah pemusnah yang datang dari perkataan ‘bust’ iaitu musnah atau hancur, mengikut Kamus Inggeris-Melayu Dewan.
BACA: Terkenal Dalam “Crouching Tiger, Hidden Dragon”, Cheng Pei-pei Meninggal Dunia
Apabila Tentera Udara Diraja British berterusan melakukan pengeboman, perkataan ini semakin kerap digunakan.
Menerusi kejadian-kejadian ini, media mula menggunakan perkataan blokbuster sebagai metafora untuk merujuk kepada apa sahaja keadaan atau kejadian yang keterlaluan dan mengejutkan.
Peralihan penggunaan perkataan ini boleh dilihat sendiri dalam majalah TIME dari gambaran pengeboman ke berita mengejutkan, juga dari keputusan mahkamah ke perlawanan bola sepak tumpuan.
Dan akhirnya, perkataan blokbuster diguna pakai dalam dunia hiburan, khusus kepada filem yang berjaya mengaut keuntungan besar di panggung wayang.
Sumber: Mental Floss, Time, Liberation Route Europe