Mayat Kanak-Kanak Dua Tahun Dengan Kesan Kelar Ditemui
Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah, lapor Astro Awani.
Difahamkan, mayat terbabit dipercayai mangsa pembunuhan dan kelar oleh seorang suspek etnik Rohingya dalam kejadian pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah, memaklumkan bahawa mayat tersebut ditemui terdampar oleh orang awam di pantai tersebut pada kira-kira pukul 12 tengah, pada Selasa.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati keadaan fizikal mayat kanak-kanak itu masih sempurna.
Bagaimanapun, terdapat kesan kelar pada lehernya, serupa dengan dua mayat yang sebelum ini ditemui di dalam longkang di belakang sebuah bangunan kosong berhampiran Pekan Simpang Kuala.
“Kecederaan kelar dialami serupa seperti dialami dua beranak berusia 34 dan 10 tahun.
“Bagaimanapun kita sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada Ahad lalu.
“Suspek memiliki tiga anak dan salah seorang daripadanya yang belum ditemui sebelum ini dipercayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing selepas penemuan dua mayat di belakang sebuah bangunan kosong berhampiran Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim pada petang Isnin.
Suspek, 43, diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang pada pukul 9.05 malam bersama seorang anak lelakinya yang berusia lima tahun, yang ditemui dalam keadaan selamat tetapi trauma.
BACA: Dua Mayat Ditemui Dalam Longkang Dipercayai Ibu & Anak
BACA: Dua Mayat Ditemui Dalam Longkang Di Belakang Bangunan Terbiar
BACA: Lelaki Cedera Disamun Tujuh Penjenayah Di Stesen Minyak
Sumber: Astro Awani