Siakap Keli
19 terperangkap risda
Gambar: BERNAMA

19 Terperangkap Di Risda Eco Park Diselamatkan Hari Ini – Polis

19 Terperangkap Di Risda Eco Park Diselamatkan Hari Ini – Polis

TANJUNG MALIM, 24 Ogos (Bernama) – – Seramai 19 individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air di pusat peranginan Risda Eco Park Resort di Kg Ulu Slim akan diselamatkan hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata operasi menyelamat mangsa terdiri daripada pengunjung dan kakitangan pusat peranginan itu akan dilaksanakan setelah air sungai surut.

“Akibat jambatan runtuh dan terputus hubungan, kita hanya ada satu akses sahaja dan kita akan cari kaedah selain bot untuk menyelamatkan mereka, dijangka hari ini.

BACA: Insiden Kepala Air, 15 Orang Dikhuatiri Terperangkap Di Risda Eco Park

“…dan mereka akan ditempatkan di PPS (pusat pemindahan sementara),” katanya selepas meninjau kawasan jambatan Slim Village runtuh akibat kejadian kepala air malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir.

Ratusan penduduk terperangkap susulan hujan lebat berterusan di daerah Tanjung Malim sejak petang semalam yang menyebabkan banjir dan kejadian kepala air serta mengakibatkan tiga jambatan runtuh termasuk Jambatan Slim Village selain sebuah muka sauk loji rawatan air pecah.

BACA: Tanah Jerlus: Operasi SAR Ditangguh, Hanya Selipar Mangsa Ditemukan

Kejadian itu juga menyebabkan jambatan yang menghubungkan Risda Eco Park dengan jalan utama runtuh dan pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun Azizi berkata kesemua yang terperangkap di pusat peranginan itu berada dalam keadaan selamat.

“Kita ada berkomunikasi dengan mereka melalui telefon, cuma kita difahamkan bekalan elektrik terputus di sana,” katanya.

Sementara itu, seramai 175 mangsa daripada 42 keluarga berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan dalam operasi sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Masjid Kg Pasir dan PPS Masjid Jamek Slim Village.

Sumber: BERNAMA

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.