Setiap daripada kita sudah pasti mengimpikan tempat berteduh yang selesa. Dapat berlindung daripada terik mentari & basah hujan setiap hari, lebih-lebih lagi apabila sudah berkeluarga.
Dengan adanya kediaman yang selesa, selamat dan lengkap dengan pelbagai fasiliti, hati kita sudah tentu menjadi lebih tenang untuk membesarkan anak-anak.
Begitu juga dengan anggota tentera kita, pastinya mereka turut mengimpikan sebuah kediaman yang selesa untuk anak-anak dan isteri diami, lebih-lebih lagi ketika keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Maka tak hairanlah kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membelanjakan RM400 juta, iaitu peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024, untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tahun ini.
Peruntukan berkenaan adalah untuk menyelenggara RKAT di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
Antara RKAT yang sedang diselenggara secara berfasa ketika ini adalah RKAT Kem KEMENTAH di Kuala Lumpur.
Anggota bersyukur dapat kediaman yang selesa
Bagi anggota yang terlibat dalam pemindahan ini, mereka amat bersyukur dan terasa kelainannya dari segi keselesaan, keselamatan dan fasiliti yang dibekalkan.
Koperal Fedly Abd Ghani, (Kerani, BPA-CTK) berkata, semasa menetap di Blok B6 sejak 2017, keadaan RKAT yang diterima agak tidak selesa untuk didiami keluarganya.
Beliau yang sudah pun mendirikan rumah tangga hampir 10 tahun bersama Puan Hayati kini berasa amat gembira apabila berpindah ke blok baru yang sudah diselenggara.
Ujar Koperal Fedly lagi, begitu banyak perbezaan yang dapat dirasakan sejak berpindah ke kediaman baru itu.
Paling utama katanya, kediaman yang didiami ketika ini lebih selamat untuk anak-anak dan isterinya.
“Alhamdulillah, rumah yang sekarang ini sudah ada grill pada bahagian balkoni. Jadi, pintu cermin di depan ini sudah boleh dibuka,” katanya.
Berbeza dengan keadaan balkoni di rumah lamanya yang tidak dipasang dengan grill, beliau dan isterinya kerap merasa bimbang dengan keselamatan anak-anak ketika mereka bermain di ruang tamu.
Jelas Koperal Fedly lagi, kediaman baru ini juga terasa seperti berada di rumah sendiri. Jadi, hatinya selalu merasa tenang hendak berehat atau meluangkan masa dengan anak-anak setiap kali pulang dari tempat kerjanya.
Fasiliti-fasiliti dalam rumah ditambah baik
Bagi Puan Hayati pula, sebagai suri rumah sepenuh masa, antara kesukaran yang dihadapi olehnya ketika menguruskan rumah tangga adalah masalah paip yang selalu tersumbat semasa tinggal di rumah lama.
Apabila berpindah ke rumah baru, masalah-masalah seperti paip tersumbat sudah tidak ada kerana semua kemudahan yang ada sudah sempurna dan sedia untuk digunakan.
Selain itu, fasiliti-fasiliti dalam rumah yang ada di kediaman semasa juga jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.
“Dulu di rumah lama, cuma ada satu kipas sahaja. Jadi suasana dalam rumah rasa lebih panas dan tidak selesa untuk anak-anak.
“Di rumah baru pula, sudah ada dua kipas di ruang tamu. Lampu juga ditambah dan lebih terang,” katanya.
Masalah-masalah yang dihadapi sebelum ini sudah diatasi
Manakala bagi Koperal Khairul Aswad Nahadi dari Rejimen 515 Askar Wataniah dan isterinya, Koperal Noor Syahnahezma Juhari dari Wisma Transit Kuala Lumpur pula, suasana di rumah baru lebih sesuai untuk mereka dan anak-anak.
“Kalau di rumah lama, tekanan air memang sangat perlahan, lebih-lebih lagi jika digunakan serentak misalnya di dapur dan di bilik air.
“Tetapi sekarang, masalah tersebut sudah tidak berlaku,” kata Khairul Aswad.
Bagi Noor Syahnahezma pula, kelengkapan perabot yang disediakan untuk setiap bilik untuk rumah baru seperti almari juga lebih baik dan berkualiti.
Dengan kemudahan-kemudahan baru yang ada, kualiti kehidupan mereka sekeluarga kini bertambah baik dan tidak lagi perlu bimbang dengan keadaan rumah yang didiami.
Bersyukur dan lega kebajikan mereka terjaga
Satu lagi keluarga tentera yang dipindahkan, Koperal Mohd Kamarul Anwar Kamarulzaman dari Wisma Perwira ATM dan Koperal Nuraini Mohd Rasul (Katering Tentera Darat) amat berterima kasih kepada MINDEF dan ATM kerana menyelenggarakan dan menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka.
Menurut Koperal Mohd Kamarul, penyelenggaraan yang dibuat sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga tentera dan anggota dapat melaksanakan tugas dengan lebih tenang.
Bukti MINDEF & ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota tentera
Disini, terbuktilah MINDEF dan ATM sememangnya amat menitikberatkan kebajikan semua anggota tentera yang banyak berkorban memastikan keamanan negara terpelihara.
Semoga, semua perancangan MINDEF dan ATM di masa hadapan dapat dilaksanakan dan berjalan lancar demi kepentingan semua pihak.