Punca Kematian Bayi Di Taska Akibat Lemas – Polis
Bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri disahkan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) kerana lemas, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Alor Gajah terhadap mangsa telah diterima pihaknya pada malam Jumaat.
“Proses bedah siasat yang berjalan selama kira-kira tiga jam bermula jam 7.30 malam hingga 10.45 malam mendapati punca kematian akibat lemas.
“Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki berusia lapan bulan itu,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Pengasuh disyaki bedung, menyumbat botol susu dan menekup bayi dengan bantal
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim mendakwa kejadian menimpa anaknya itu dipercayai berpunca daripada perbuatan pengasuh taska yang membedung mangsa, menyumbat botol susu dan menekupnya dengan bantal.
Tindakan pengasuh terbabit dilihat menerusi menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.
Lebih menyayat hati lagi apabila Mohd Fikry Amri berkata, isteri terpaksa membawa sendiri anaknya ke hospital dalam keadaan terkulai.
Dalam masa sama, bayi mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan berwajah biru selepas dimaklumkan pihak taska.
Suspek direman selama seminggu susulan kes ini
Menurut Sinar Harian, seorang pengasuh wanita direman selama seminggu susulan disyaki membunuh mangsa di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, pada Sabtu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
BACA: Pengasuh Direman Tujuh Hari Bantu Kes Kematian Bayi
BACA: Tanah Jerlus: Insiden Berlaku Akibat Antropogenik, Cuaca Dan Hakisan Lapisan Tanah Tambak – NRES
BACA: Taufan Yagi Landa Vietnam, Seorang Terkorban
Sumber: Sinar Harian