Lima Kedai Dua Tingkat Musnah Dijilat Api
Lima unit kedai dua tingkat musnah dijilat api dalam kebakaran di Bagan Datuk, malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Rungkup, Sungai Tiang (berhampiran Klinik Kesihatan), Selekoh, Hutan Melintang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mengesahkan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 11.52 malam.
Menurut beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang kemudiannya segera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 27 kilometer dari balai tersebut.
“Kebakaran melibatkan tiga unit kedai dua tingkat kelas B, berkeluasan 20 x 60 kaki setiap unit, musnah terbakar 90 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan dua unit kedai dua tingkat yang bersambung dengan rumah dibahagian belakang, kelas B berkeluasan 20 x 120 kaki setiap unit yang musnah 80 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan dari sumber air terbuka untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang, PBS Teluk Intan dan PBS Bagan Datuk.
Tambah beliau, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Faris Zahir selesai sepenuhnya pada kira-kira jam 4.02 pagi.
BACA: Wanita Dakwa Anak Hidap ‘Vitiligo’ Selepas Ditampar Guru
BACA: Punca Kematian Bayi Di Taska Akibat Lemas – Polis
BACA: Wanita Maut Dalam Nahas Empat Kenderaan Di Lebuh Raya PLUS
Sumber: Astro Awani