Pekerja ‘Kesan’ Bunyi Gerakan Tanah Sebelum Tebing Sungai Runtuh
Pekerja tapak projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) kesan bunyi pergerakan tanah sebelum tebing sungai runtuh di kawasan tersebut pada Sabtu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, sejurus bunyi tersebut didengari, siren kecemasan segera dibunyikan.
Tindakan pantas ini berjaya menyelamatkan kira-kira 100 pekerja yang berada di tapak projek tersebut.
“Kejadian dipercayai bermula dengan bunyi akibat pergerakan tanah sebelum siren diaktifkan untuk mengeluarkan kesemua pekerja ke tempat selamat.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini dan pihak bomba dimaklumkan oleh pengurus projek bahawa kejadian runtuhan tebing ini mengambil masa kira-kira 20 minit,” katanya pada Ahad.
Sebelum ini, Gamuda Berhad dalam satu kenyataan menyatakan bahawa semua kerja pembinaan di tapak projek tersebut telah dihentikan sementara untuk menilai situasi dan menguatkuasakan langkah keselamatan tambahan.
Menurut kenyataan tersebut, pihak syarikat mengesahkan bahawa tiada pekerja atau orang awam yang cedera dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang itu.
Pada Sabtu, runtuhan tebing sungai berlaku di tapak projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1), berhampiran Idaman BSP Taman Mas, Puchong, yang menyebabkan air sungai melimpah ke bahagian hadapan tapak pembinaan tersebut.
BACA: 26 Lokasi Berisiko Kepala Air, Tanah Runtuh Susulan Hujan Lebat
BACA: Lima Kedai Dua Tingkat Musnah Dijilat Api
BACA: Penumpuan Angin Di Utara: Ribut Petir, Hujan Lebat Dalam Tempoh Lebih Panjang
Sumber: Sinar Harian