Jambatan Runtuh, Beberapa Kenderaan Jatuh Ke Sungai
Satu kejadian jambatan runtuh dilaporkan berlaku di Phu Tho, utara Vietnam pada pagi Isnin.
Akibatnya, beberapa kenderaan yang pada ketika itu dipercayai berada di atas jambatan terjatuh ke dalam sungai.
Jambatan Phong Chau, yang merentangi Sungai Merah di sepanjang Lebuhraya Kebangsaan 32C, runtuh sekitar jam 10 pagi.
Ini menyebabkan laluan masuk dari daerah Lam Thao ke Tam Nong melalui jambatan tersebut telah terputus.
Difahamkan, separuh daripada struktur jambatan telah runtuh, mengakibatkan beberapa kenderaan jatuh ke dalam sungai di bawahnya.
https://x.com/anthraxxx781/status/1833019619948593154
Komisioner Politik bagi Wilayah Tentera 2, Leftenan Jeneral Pham Duc Duyen berkata, rakaman awal menunjukkan tiga lori, dua kereta, beberapa motosikal dan basikal elektrik seorang pelajar terjunam ke sungai ketika kejadian.
Justeru, pihak tentera telah mengerahkan beberapa bot di sepanjang tebing sungai untuk mencari mangsa, dan setakat ini berjaya menyelamatkan empat orang.
Pasukan tentera juga bekerjasama dengan polis tempatan untuk menggerakkan operasi penyelamatan menggunakan bot.
Namun, arus yang deras menyukarkan usaha menyelamatkan mangsa yang lain.
“Jumlah kematian dan orang hilang masih belum dapat dipastikan kerana rakaman kamera tidak menunjukkan dengan jelas bilangan individu dalam setiap kenderaan,” kata Duyen.
BACA: Dua Maut Tertimbus Runtuhan Tanah, Konkrit
Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Daerah Lam Thao, Ngo Duc Sau, pula menyatakan bahawa kejadian runtuhan itu berlaku ketika keadaan cuaca buruk dan paras air sungai yang tinggi.
“Kami masih belum dapat mengesahkan jumlah mangsa kerana pihak berkuasa sedang menyemak rakaman kamera dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” kata Sau.
Selain itu, menurut wakil dari Pusat Perubatan Tam Nong, beberapa ambulans dan kakitangan perubatan telah dihantar ke lokasi kejadian kerana jumlah mangsa dijangka meningkat.
Sementara itu, pihak berkuasa telah menutup kawasan jambatan itu dan memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca runtuhan.
BACA: Kesal ‘Tidak Diurus’, Suami Nekad Bunuh Isteri Dengan Kejam
BACA: Mayat Lelaki Dengan Kesan Terbakar Ditemukan Di Arau
Sumber: VN Express International