Remaja 14 Tahun Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Perlawanan Bola Sepak
KAJANG — Seorang remaja lelaki berumur 14 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak di padang bola di Semenyih, Kajang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusuf berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki, 46, yang juga seorang jurulatih kepada salah satu kelab bola sepak itu pada jam 4.08 petang.
Kata Naazron, hasil siasatan mendapati mangsa telah rebah dengan tiba-tiba dalam perlawanan itu.
Susulan itu, remaja terbabit telah dikejarkan ke klinik berhampiran lalu dirujuk ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.02 petang Sabtu.
“Hasil bedah siasat oleh pakar perubatan mengesahkan mangsa mempunyai masalah komplikasi jantung dan asma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lebih lanjut, beliau turut menasihati orang ramai khususnya ibu bapa perlu membuat pemeriksaan kesihatan terhadap anak-anak terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana kejohanan atau aktiviti sukan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan sebagai laporan Mati Mengejut (SDR).
Penyokong meninggal dunia ketika datang ke stadium
Sementara itu, pada Julai lalu, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia ketika hendak menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata remaja tersebut sebelum itu rebah ketika berada di tempat duduk penonton kira-kira 7 petang.
“Remaja itu datang ke stadium bersama adiknya bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara KDA FC dan JDT, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri semasa berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudiannya segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di stadium, untuk membawa remaja tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.
https://www.facebook.com/polisdaerahkajang/posts/pfbid0Wu2Nx8X8is1VWBnWtTYKB9EHfovrZk1NjNVAfnPZBfoirWydadC7wX4nPDvJCq1Ul
Sumber: Polis Daerah Kajang