RXZ Members 6.0: SJR Diperbanyak, Bakal Pertimbang Batal Permit Jika Banyak Pelanggaran Undang-Undang
Polis Terengganu pertimbang akan membatalkan permit bagi program himpunan motosikal RXZ Members jika terdapat banyak pelanggaran undang-undang semasa penganjurannya kali ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin menekankan kepada penganjur dan peserta agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kita dah beberapa kali melakukan perjumpaan dengan penganjur. Itulah kita tekankan untuk pastikan kehadiran peserta mematuhi undang-undang.
“Mungkin kita boleh ambil kira (tidak memberi lesen kepada penganjur jika ada banyak pelanggaran undang-undang).
“Selain itu, kami ada mencadangkan kepada penganjur letak wang cagaran kepada pihak berkuasa tempatan tetapi mungkin perkara ini akan dikaji semula supaya penganjur ambil tanggungjawab untuk mendisiplinkan peserta RXZ Members,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Op Khas Motosikal Sempena Program RXZ Members 6.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Isnin.
Menurut beliau, program yang akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, dari Jumaat hingga Sabtu ini, dijangka bakal menarik 80,000 peserta dari seluruh negara.
Dalam pada itu, pihak polis akan melakukan rondaan di semua daerah, siang dan malam, terutamanya di kawasan perumahan, serta menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Kuala Terengganu.
“Kita meningkatkan SJR dengan memberi fokus pada lokasi ‘hotspot’ di sekitar Kuala Terengganu.
“Kita juga akan mengadakan penutupan di jalan utama Litar Permotoran Terengganu. Hanya motosikal dibenarkan masuk bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menjaga ketenteraman awam sepanjang program itu berlangsung,” ujarnya.
Selain itu, peserta juga diingatkan agar tidak melakukan kesalahan serius termasuklah mengubah suai ekzos kenderaan.
“Pastikan semua peserta yang hadir mempunyai lesen memandu selain kenderaan yang ditunggang mempunyai cukai jalan yang sah.
“Kami mengalu-alukan kehadiran peserta RXZ Member 6.0 ke Terengganu, namun ingin saya tegaskan agar semua peserta mematuhi undang-undang jalan raya telah ditetapkan.
“Penunggang motosikal dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan untuk berehat di lorong-lorong kecemasan sebaliknya berehatlah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang sedia ada bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini berlaku,” tambahnya.
BACA: Jambatan Runtuh, Beberapa Kenderaan Jatuh Ke Sungai
BACA: Bidaan Nombor Plat ‘EV’ Untuk Kenderaan ZEV Dibuka Hari Ini
BACA: Dua Maut Tertimbus Runtuhan Tanah, Konkrit
Sumber: Sinar Harian