Tersepit Antara Dua Kenderaan, Mekanik Maut Ketika Baiki Treler Rosak
Ipoh – Seorang mekanik meninggal dunia apabila tersepit antara van dan treler dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 1.35 awal pagi tadi di Kilometer 286.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, lapor Sinar Harian.
Mangsa, Mohammad Marinoor Chik yang berusia 60 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit antara dua kenderaan itu di bahu jalan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa tiba di tempat kejadian dengan menaiki sebuah van. Setelah mangsa meletakkan van tersebut di bahu kiri jalan, dia turun untuk membaiki treler yang rosak.
BACA: Lampu Amaran Masih Menyala Walau Dah Turunkan “Hand Brake”? Ini Puncanya
Tambahnya, rakan setugas mangsa pula tiba di tempat tersebut dengan menaiki van berlainan yang diletakkan di hadapan van milik mangsa.
“Semasa (mangsa) sedang membaiki treler tersebut, secara tiba-tiba rakan mangsa mengundurkan kenderaannya ke belakang dengan laju dan melanggar van mangsa.
“Pelanggaran mengakibatkan van tersebut menggelongsor ke belakang dan menghimpit mangsa yang berada di tengah antara treler dan van,” katanya.
BACA: Cubaan Seludup PATI, Tekong Bot Nekad Terjun Laut Lepas Langgar Bot APMM
BACA: Rogol Anak Hingga Bersalin, Buruh Dipenjara 72 Tahun, 60 Sebatan
Mekanik maut ketika baiki treler, rakan setugas pula larikan diri
Ujarnya lagi, siasatan mendapati rakan mangsa telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kemalangan ini telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk proses bedah siasat.
Beliau turut meminta saksi untuk tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian