Siakap Keli
uncle mike anugerah maulidur rasul
Sumber: Sinar Harian

Pernah Tular Besarkan 3 Anak Melayu, Uncle Mike Terima Anugerah Maulidur Rasul

Pernah Tular Besarkan 3 Anak Melayu, Uncle Mike Terima Anugerah Maulidur Rasul

Tidak pernah terlintas di fikiran Michael Tong Wai Siong, 55, bahawa suatu hari nanti dia akan menjadi bapa kepada tiga anak lelaki yang berlainan bangsa dan agama.

Namun, takdir telah membawa perubahan besar dalam hidup lelaki berbangsa Cina yang mesra dikenali sebagai Uncle Mike itu.

Uncle Mike menjelaskan minat mendalamnya terhadap kerja kebajikan dan penglibatannya dalam program rumah amal melalui kelab kereta yang disertainya.

Tidak disangkanya bahawa hal tersebut telah menemukan dirinya dengan tiga anak angkat Melayu itu.

Usaha murninya dalam mencerminkan nilai perpaduan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, telah membolehkan beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Lebih istimewa, Uncle Mike merupakan satu-satunya penerima berbangsa Cina yang diiktiraf pada acara yang bermakna bagi umat Islam itu.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ini, terharu dan gembira bercampur baur. Tidak pernah sangka saya dari keluarga yang biasa ini dapat penghargaan sebegini rupa.

“Penghargaan ini memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus melakukan kebajikan dan tolong lebih ramai yang memerlukan,” katanya.

BACA: Malaysia Perlu Serius Bangunkan TVET, Raih Emas Di WSC 2026 Di Shanghai

Mengimbas kembali kisah bagaimana beliau mengambil tiga anak angkatnya, semuanya bermula lebih 16 tahun lalu apabila beliau bertemu dengan seorang kanak-kanak Melayu yatim piatu di sebuah rumah anak yatim.

Anak tersebut, Rafei Ahmad Fauzi, ketika itu berusia 12 tahun, telah dibawa tinggal bersamanya.

Namun, kerana tidak sanggup melihat dua adik Rafei bersedih akibat terpaksa berpisah, Uncle Mike memutuskan untuk menjaga ketiga-tiga mereka.

Kini, selepas hampir 16 tahun bersama, hubungan kasih sayang antara Uncle Mike dan Rafei, 29, bersama dua lagi adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, kekal utuh walaupun tanpa ikatan darah.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut terbuka menerima ketiga-tiga anak angkat saya ini.

“Malah, keluarga juga menasihatkan saya menjaga mereka dengan baik. Sebenarnya ini rahsia yang saya simpan sejak 16 tahun lalu dan tidak ramai tahu,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat lima tokoh lain turut menerima anugerah yang sama, termasuklah Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Datin Aminah Zakaria, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Mikrobiologi, Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.

Selain itu, bekas Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia, Profesor Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain dan Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, Sariah Ibrahim.

Di samping itu, Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin, telah dianugerahkan Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024.

BACA: Berjaya Langkawi Resort Tawar Pakej Ke Langkawi Bersama Penerbangan Carter Persendirian

BACA: Harimau Malaya: Simbol Gagah, Hampir Pupus Sudah

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.