Pasport Hilang Ketika Melancong, Apa Nak Buat? Ikut Langkah Ini
Jika berada di Malaysia, kad pengenalan MyKad atau MyKid merupakan dokumen terpenting sebagai pengenalan diri kita.
Namun, ketika berada di luar negara, dokumen utama yang perlu dibawa untuk mewakili diri adalah pasport.
Untuk pengetahuan anda, pasport Malaysia merupakan antara pasport terkuat di dunia. Di peringkat global, Malaysia berada di tangga ke-12 dengan akses kepada 182 destinasi.
Dalam pada itu, sebagai pemegang pasport, sudah menjadi tanggungjawab untuk memastikan dokumen berkenaan sentiasa berada dalam pemilikan kita.
Walaupun begitu, kita tidak dapat menjangka kejadian yang bakal berlaku di luar sana.
Jadi, apa yang perlu kita buat apabila kita menyedari pasport kita sudah hilang, tidak kiralah atas apa jua sebab?
Ke mana hendak kita tuju jika ketika itu kita berada di negara orang? Pertama sekali, jangan panik.
BACA: Jangan Buang, Ini Tip Paling Mudah Cuci Bekas Plastik Berminyak
Usahalah untuk tenangkan diri dan ikuti langkah-langkah yang dikongsikan oleh Muaz Aziz, seorang pengguna Facebook yang pernah melalui keadaan mencemaskan ini.
Perkara yang paling pantas anda perlu lakukan ialah hubungi pihak kedutaan Malaysia di negara yang pasport anda didapati hilang. Kenapa?
Anda perlu memaklumkan kejadian kehilangan pasport ini supaya tindakan pantas dapat dilakukan sebelum pasport anda disalah guna.
Selain daripada pergi ke sana, anda boleh juga hubungi pihak keduataan melalui nombor telefon, emel atau media sosial mereka. Kemudian, anda perlu buat laporan polis tempat kejadian.
Setelah selesai, cari kedai gambar untuk ambil gambar pasport dengan latar belakang berwarna putih. Pastikan anda berpakaian kemas, senyum sikit biarpun hati tengah gundah.
Selepas itu, anda perlu hadir ke kedutaan untuk proses membuat Perakuan Cemas. Menurut Muaz, perjalanan pulang anda ada dua kemungkinan.
BACA: Gadis Ini Diarah Pulang Semula Ke Malaysia Selepas Mendarat di Incheon

“Kalau bernasib baik, dapat terbang tiket balik yang sama. Kalau hilang di negara A, dan tiket balik dari negara B. Biasanya kena beli tiket lain yang sehala,” kongsinya.
Setelah selesai segala urusan di sana, anda boleh pulang ke tanah air. Tetapi, proses melibatkan kehilangan pasport ini masih belum selesai sepenuhnya.
Anda perlu serahkan Perakuan Cemas tadi kepada pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemudian, teruskan dengan membuat laporan polis di Malaysia untuk proses membuat pasport yang baru.
Selain Pondok Polis KLIA, anda juga boleh terus ke Balai Polis KLIA 2 yang berada di hadapan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA.
Semoga dipermudahkan urusan anda.
Sumber: Muaz Aziz
BACA: Maybank Di Kota Kinabalu Jadi Tarikan, “Spot” Bergambar Untuk Pelancong