Penulis & Penyanyi OST Anime, Sayuri Meninggal Dunia
Jepun – Penulis dan penyanyi lagu-lagu tema (OST) anime terkenal, Sayuri, 28 tahun, disahkan telah meninggal dunia pada 20 September lalu, lapor Anime News Network.
Berita duka itu disampaikan oleh suami mendiang menerusi laman X milik mendiang pada hari ini.
Menerusi perkongsian tersebut, mendiang meninggal dunia akibat penyakit kronik. Namun, tiada penjelasan lanjut diberikan.
Pihak keluarga mendiang telah mengadakan majlis pengebumian secara tertutup dan meminta semua pihak menghormati ahli keluarga yang sedang berkabung.
BACA: Pelakon Suara Dalam Anime Sailor Moon, Naruto Meninggal Dunia
Berduka dengan pemergian isterinya, suami mendiang turut menyampaikan pesanan buat para peminat mendiang menerusi laman X miliknya.
“Mendiang amat meminati muzik sehingga ke akhirnya apabila dia bertarung dengan penyakit kronik.
“Tidak banyak yang dapat saya katakan, tetapi ini sememangnya kebenaran yang tidak dapat disangkal.
“Saya berharap anda akan sentiasa menerima kasih sayang yang telah Sayuri berikan. Jika anda dapat menerimanya, saya ingin mengajak anda untuk raikannya dan hidup bersama-sama saya,” katanya.
BACA: Ulang Tahun Ashraf Sinclair, BCL Titip Ucapan Istimewa
Pada 25 Julai lalu, mendiang pernah berkongsi keadaan terkininya apabila disahkan menghidap disfonia fungsi (functional dysphonia) di laman X peribadinya.
“Saya telah hadir ke hospital dan dikenal pasti menghidap disfonia fungsi. Suara saya bergetar, pecah dan menjadi kasar. Otot saya bergerak sendiri, menyukarkan saya untuk menyanyi.
“Saya perlukan masa untuk tumpu kepada proses pemulihan supaya sembuh, jadi saya putuskan untuk berehat seketika dari menyanyi,” luah mendiang.
Sebagai maklumat, mendiang baru sahaja mendirikan rumahtangga bersama penyanyi vokal kumpulan Misekai, Amaarashi pada 18 Mac lalu. Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri oleh mendiang di laman X miliknya.
Mendiang mula dikenali apabila lagu ciptaannya, Mikazuki, dijadikan lagu OST bagi anime Rampo Kitan: Game of Laplace. Bermula dari saat itu, mendiang menerima lebih banyak jemputan untuk menghasilkan lagu-lagu OST bagi anime yang dikenali ramai termasuk My Hero Academia, Fate/Extra Last Encore, Golden Kamuy dan ERASED.
Sumber: Anime News Network, Sayuri (1) (2) (3), Amaarashi