Peralihan Kelas B: Institut Memandu Terima Permintaan Pendaftaran Yang Tinggi
Institut Memandu (IM) terpilih yang disenaraikan bagi Program Khas Peralihan Lesen Kelas B telah menerima permintaan pendaftaran yang tinggi.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihaknya telah menerima aduan mengenai perkara tersebut dan menasihatkan orang ramai yang layak untuk tidak tergesa-gesa dalam urusan pendaftaran program ini.
“Program tersebut tidak mempunyai tempoh tamat yang tertentu atau tiada had masa.
“Pihak JPJ juga telah memaklumkan kepada semua IM yang terlibat untuk menerima setiap permohonan calon,” kata JPJ dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Tambah jabatan itu lagi, pihaknya juga akan mengemas kini senarai IM dari semasa ke semasa bagi menampung pendaftaran terbabit.
Dalam kenyataan yang sama, JPJ juga memaklumkan bahawa terdapat kegelinciran sistem bagi semakan status kelayakan program tersebut.
BACA: Ini Senarai Institut Memandu Laksana Program Peralihan Lesen Kelas B
Namun, tindakan pembetulan dan penambahbaikan telah dilakukan serta-merta.
“Pemegang LMM Kelas B2/B1 yang sebelum ini menerima paparan mesej ‘Bukan Warganegara Malaysia adalah Tidak Layak’ dinasihatkan untuk log keluar dan log masuk semula aplikasi MyJPJ dan boleh menyemak semula status kelayakan di ‘Semakan Kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B’,” katanya.
Ujar JPJ lagi, pihaknya menghargai maklum balas orang ramai berkenaan pelaksanaan program itu. Mereka juga komited untuk menambah baik dari semasa ke semasa bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
BACA JUGA: Syarat Program Peralihan Lesen Kelas B Dilonggarkan – Loke
Semalam, JPJ telah mengumumkan senarai IM yang menawarkan Program Khas Peralihan Kelas B di seluruh negara. Terdapat 139 IM yang boleh dikunjungi oleh individu yang layak.
Program peralihan ini telah bermula sejak 1 Oktober lalu yang membolehkan pemegang LMM Kelas B2/B1 untuk beralih ke lesen kelas B (motosikal berkuasa tinggi).
Orang ramai yang berminat untuk beralih ke lesen kelas B itu telah lama menantikan program ini. Justeru, tidak hairan ia mendapat permintaan pendaftaran yang tinggi.