Hujan Lebat Di Hampir Seluruh Negeri Hingga Malam Ini – MetMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat hampir seluruh negeri sehingga jam 7 malam ini.
Menerusi hantaran Facebook, agensi tersebut meramalkan seluruh negeri Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan mengalami hujan lebat, ribut petir dan angin kencang sehingga malam ini.
Di utara negara, hujan lebat hanya melibatkan daerah Kubang Pasu di Kedah. Manakala di Perak, kebanyakan kawasan dilanda hujan lebat iaitu daerah Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Ramalan menunjukkan tidak banyak kawasan di pantai timur mengalami hujan lebat, ribut petir dan angin kencang. Ia hanya melibatkan daerah Gua Musang di Kelantan. Manakala di Terengganu, hujan lebat dijangka landa tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Di Pahang pula, daerah Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin dijangka hujan lebat.
Di bahagian selatan pula, hujan lebat melanda daerah Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang di Selangor.
Beralih ke Sabah, kebanyakan kawasan dijangka menerima hujan lebat terutamanya di daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Semporna), Sandakan (Tongod) dan Kudat (Kota Marudu).
Di Sarawak, cuaca ribut petir dan hujan lebat hanya melanda daerah Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Menerusi kemas kini terbaru ramalan cuaca di laman YouTube, pihak MetMalaysia juga meramalkan hujan lebat itu akan berlaku hingga ke lewat malam ini.
BACA: Tak Guna Bahasa Kebangsaan Pada Papan Iklan, DBKL Kompaun Lima Premis
“Namun begitu, ribut petir yang berlaku di sekitar negeri Kedah, Perak, pedalaman Pahang dijangka akan turut menuju ke Lembah Klang dan pedalaman Negeri Sembilan bermula pada awal malam nanti dan dijangka akan berterusan sehingga ke lewat malam,” tambahnya.
Masyarakat diingatkan supaya berwaspada dengan keadaan cuaca ribut petir dan hujan lebat yang boleh mengakibatkan angin kencang, banjir kilat dan juga kerosakan pada struktur yang kukuh.
BACA: Remaja Lelaki Lemas Di Sungai Semungkis
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (1) (2)