Apa Hukum Menyimpan Patung Permainan Kanak-Kanak? Ini Jawapan Mufti WP
Setiap daripada kita pernah melalui zaman kanak-kanak, tentunya mempunyai barang permainan seperti anak patung ketika kecil. Baik robot, patung Barbie dan banyak lagi yang terdapat dalam pelbagai saiz.
Bahkan sampai sehingga masuk ke alam pekerjaan pun sesetengah orang masih menyimpan patung sebagai koleksi mereka kerana minat atau mengikuti perkembangan semasa ‘trend’ terkini.
Baru-baru ini timbul perdebatan dalam kalangan orang beragama Islam mengenai hukum menyimpan anak patung kerana menjadi ikutan orang ramai selepas dipopularkan oleh seorang selebriti antarabangsa.
Sehubungan itu, ikuti pencerahan Mufti Wilayah Persekutuan (WP) mengenai topik ini bagi pemahaman bersama.
Hukum Menyimpan Patung Permainan Kanak-kanak

Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri SS Mufti. Saya ingin bertanyakan soalan berkaitan menyimpan patung mainan kanak-kanak seperti dinasours, robot dan lain-lain untuk tujuan permainan dan pembelajaran. Baru-baru ini terdapat ustaz yang mengatakan perkara itu haram dan kami telah membuangnya atas nasihat ustaz tersebut. Mohon pencerahan Tuan Mufti berkaitan pandangan Islam mengenai perkara ini. Adakah ia dibolehkan ataupun tidak?
Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Terdapat larangan dalam beberapa hadith mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya. Antaranya ialah hadith yang telah kami bahaskan dalam Al-Afkar #47: Hukum Patung Sebagai Perhiasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.
Hadith riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)
Di dalam hadith yang lain juga, Rasulullah SAW bersabda:
أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.
Maksudnya: Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.
Hadith riwayat Muslim: (528)
Al-Hafiz Ibn Hajar RA berkata bahawa hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1:525)
BACA: Hukum Baring Di Dalam Masjid, Ini Jawapan Dr Zulkifli
Begitu juga, dalam satu hadith lain yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ أشَدَّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ المُصَوِّرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya di hari Kiamat ialah orang-orang yang mengukir patung (untuk disembah)
Hadith riwayat al-Bukhari (5606) dan Muslim (2108)
Allah SWT juga memberi ancaman kepada golongan yang mengukir patung ini supaya menciptakan juga biji benih dan zarah. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً
Maksudnya: Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengubah sesuatu sepertimana ciptaan-Ku? Hendaklah mereka itu menciptakan juga biji dan juga zarah.
BACA: Hukum “Troll” Menggunakan Ayat Al-Quran, Ini Penjelasan Mufti
Hal ini kerana ayat-ayat al-Quran menunjukkan bahawa sifat membuat dan mengubah rupa bentuk merupakan salah satu daripada sifat yang khusus bagi Allah SWT iaitu al-Musawwir (المصوّر). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah ‘Ali Imran: 6)
وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
(Surah al-‘Araf: 11)
Kesimpulan
Berdasarkan nas al-Quran dan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengharaman patung tersebut adalah berkaitan haram mengukir patung yang menyerupai ciptaan Allah SWT dan haram untuk disembah atau dimuliakan.
BACA: Hukum Baca Doa Qunut Nazilah Ke Atas Sesama Orang Islam, Ini Penjelasan Mufti Wilayah
Adapun selain daripada perkara tersebut seperti patung sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى
Maksudnya: Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.
Hadis riwayat al-Bukhari: (6130)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini berkata: Para ulama berdalil dengan hadis ini tentang hukum harus terhadap patung mainan untuk kanak-kanak. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan Allah. Keharusan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahawa inilah pendapat majoriti ulama. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)
BACA: Hukum Cacat Cela Pada Haiwan Yang Telah Dinazar Untuk Korban, Ini Penjelasan Mufti
Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputus kepala atau anggota badannya. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik dalam agama serta memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk beribadat dengan ikhlas kepadaNya. Amin
WaAllahu a’lam.