Jeti Feri Pulau Sapelo Roboh, 7 Dilapor Maut
Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan maut apabila sebahagian daripada jeti feri di Pulau Sapelo terletak di Georgia, Amerika Syarikat roboh, pada Sabtu.
Insiden ini berlaku ketika orang ramai berkumpul untuk menyambut acara perayaan musim luruh bersama komuniti kecil Gullah-Geechee, keturunan Afrika di pulau itu.
Menurut jurucakap Jabatan Sumber Asli Georgia, Tyler Jones, lapan orang lagi telah dikejarkan ke hospital, dengan sekurang-kurangnya enam daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Menurut ABC News, kejadian tersebut berlaku apabila sebuah laluan jambatan yang menghubungkan jeti utama dengan feri runtuh secara tiba-tiba
Kira-kira 20 mangsa dipercayai berada di atas jeti feri tersebut ketika kejadian, dan kesemua mangsa terjatuh ke dalam air.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Pengawal Pantai Amerika Syarikat, Jabatan Bomba McIntosh County dan Jabatan Sumber Asli Georgia telah dikerahkan untuk mencari mangsa yang masih hilang.
Mereka turut menggunakan helikopter dan bot yang dilengkapi sonar untuk mengesan mangsa di dalam air, tambah ABC News.
“Tiada sebarang perlanggaran, ia hanya runtuh. Kami masih belum tahu puncanya,” jelas Jones.
Dalam pada itu, Gabenor Georgia, Brian Kemp, turut melahirkan rasa dukacita terhadap insiden ini.
“Saya dan keluarga amat sedih dengan tragedi yang berlaku di Pulau Sapelo. Kami meminta semua rakyat Georgia untuk berdoa bagi mangsa dan keluarga mereka yang terlibat,” kata Kemp dalam satu kenyataan di platform media sosial X.
BACA: Bapa Perbankan Islam Malaysia, Datuk Dr Abdul Halim Ismail Meninggal Dunia
BACA: Pemandu Maut, Penumpang Cedera Kereta Terbakar Di NPE
BACA: Mayat Lima Mangsa Bot Regata Karam Ditemukan Pagi Ini
Sumber: ABC News