Layang Kad Merah Kepada Al Bulayhi, Aksi Tegas Nazmi Nasaruddin Raih Pujian Netizen
Pengadil Malaysia, Nazmi Nasaruddin sekali lagi mencuri perhatian orang ramai khususnya rakyat negara selepas mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) antara Al-Ain dan Al-Hilal di Stadium Hazza Bin Zayed, Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi.
Dalam perlawanan itu, Nazmi dilihat tenang dan tegas mengendalikan pertembungan hangat antara kedua-dua pasukan yang dibarisi pemain bintang seperti Neymar, Joao Cancelo, Mitrovic dan Ruben Neves.
Ia termasuk layangan kad merah terhadap rakan sepasukan Neymar, Al Bulayhi susulan menahan bola menggunakan lengan.
Aksi cemerlang pengadil berusia 34 tahun itu berjaya menuai komen warganet di platform TikTok.
Menerusi satu klip memaparkan Nazmi melayangkan merah terhadap pertahanan tengah Al-Hilal itu selepas meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR).
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan memihak kepada pelawat Al Hilal mencatatkan kemenangan 5-4 terhadap Al-Ain meskipun bermain dengan 10 pemain.
Berikut antara komen netizen;
“Nazmi ni tahap (level) dia dah kena jadi pengail luar negara, tak perlu jadi pengadil Liga Super lagi dah,” komen salah seorang pengguna.
“Nampak gaya memang ada kemungkinan Nazmi terpilih untuk jadi pengadil di World Cup akan datang. AFC nampak memberi kepercayaan yang agak tinggi bagi Nazmi kendalikan perlawanan-perlawanan panas,” tulis seorang lagi pengguna.
“Malaysia ni boss,” komen seorang pengguna lagi.
@eeempty___ referee malaysia ni boh #foryou #fyp #afcchampionsleague #afc
Indonesia Puji Aksi Tegas Nazmi
Terdahulu, Nazmi mendapat pujian daripada warga Indonesia kerana aksi tegas ketika mengadili perlawanan panas antara Persib dan Persija Jakarta.
Penampilan beliau dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Isnin telah menarik perhatian ramai.
Lebih-lebih lagi, sebanyak tujuh kad kuning dan dua merah dikeluarkan daripada poket pengadil itu sepanjang perlawanan berlangsung.
Keputusan ini dibuat tanpa memberikan muka kepada mana-mana pihak walaupun terdapat beberapa insiden kekasaran di atas padang yang menyebabkan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan hanya 10 orang pemain.
Sumber: TikTok @eeempty___