Polis Giat Buru Kumpulan Warga Asing Samun Berparang
Pihak polis kini sedang aktif memburu kumpulan warga asing berparang yang dipercayai terlibat dalam kes samun pecah rumah di Sepang baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal, menyatakan bahawa kumpulan penjenayah tersebut dipercayai menggunakan modus operandi yang sama dalam beberapa kegiatan jenayah.
Ini termasuklah kegiatan jenayah yang berlaku di Persiaran Vista dan Jalan Sheikh Jalaludin, Bandar Baru Salak Tinggi.
Menurut beliau, kes pertama berlaku pada 6 Oktober sekitar jam 3.30 pagi, di mana mangsa serta ahli keluarganya diikat sebelum suspek melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan.
“Kes kedua pada jam 1.30 pagi, 20 Oktober lalu turut mengakibatkan mangsa sekeluarga diikat dan juga kerugian wang tunai, jam tangan dan barang kemas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai warga asing dan bertindak dalam kumpulan tiga hingga empat orang.
Suspek juga memakai topeng dan berpakaian gelap serta menggunakan parang untuk menyasarkan rumah berhampiran kawasan hutan.
Tegas beliau, polis kini giat mengesan suspek untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Thaqib Zulkafli di talian 013-2185758 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222,” ujarnya.
BACA: Ini Senarai Sukan Dipertandingkan Dalam Sukan Komanwel 2026
BACA: Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 Ditunda
BACA: TUDM Nafi Bunyi Dentuman Di Ipoh Datang Dari Pesawat Pejuang Miliknya
Sumber: Sinar Harian