Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dulu ‘Meriah’, Kini Umpama ‘Pantai Hantu’ Tiada Pengunjung
Suatu ketika dahulu, pantai yang terletak di Permatang Damar Laut, Batu Maung ini menjadi tumpuan ramai kerana keindahan pantainya yang bersih serta pemandangan matahari terbenam yang memukau.
Dikenali sebagai Pantai Esen, ia sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara yang tidak melepaskan peluang untuk menikmati pesona alam semula jadi di situ.
Namun, keadaannya kini berbeza sama sekali. Pantai yang dahulunya meriah dengan kunjungan ramai, kini sunyi sepi ibarat ‘pantai hantu’.
Air laut yang tercemar dengan selut tebal serta bau busuk menyebabkan tiada lagi pengunjung yang sudi ke sana.
Menurut Sinar Harian, tinjauan mendapati, selut hitam telah memenuhi pesisir Pantai Esen, menyebabkan air laut menjadi keruh dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Pengusaha sukan lasak bermotor ATV, Mohd Zuhair Hizami Mohd Zainol Abidin, mengakui perniagaannya terjejas sehingga 70 peratus akibat masalah ini.
“Perniagaan saya memang merudum teruk sejak tiga hingga empat bulan lalu. Ini kerana, keadaan pantai yang tidak cantik seperti dahulu. Ia dipenuhi selut hitam yang tebal.
“Dengan keadaan pantai dan air laut begitu, siapa yang nak datang ke sini? Pelanggan saya juga banyak yang membatalkan tempahan mereka apabila tahu keadaan pantai ketika ini.
“Kebanyakan pelanggan mahu bawa ATV ke pesisiran pantai dan mengambil peluang untuk mengambil gambar, berjalan di persisiran pantai dan melihat matahari terbenam, tetapi apabila jadi seperti ini, pelanggan pun ‘lari’,” katanya.

Tambah Mohd Zuhair, pantai ini tersebut sebelumnya tempat tumpuan untuk pengunjung berkelah dan bersantai bersama keluarga setiap hujung minggu.
“Jika dahulu, pelanggan saya ada yang datang dari Jepun, Korea dan Eropah tetapi sekarang ini, pengunjung tempatan pun tak ada.
“Dahulu, hujung minggu, pendapatan saya RM2,000 namun kini hanya RM500 sahaja.
“Bagaimana saya nak bayar gaji pekerja, bayar penyelenggaraan ATV dan perbelanjaan lain-lain jika pendapatan merudum seperti ini?” keluhnya.
Dalam pada itu, penduduk setempat juga turut terjejas dengan bau busuk yang terhasil daripada selut tebal di pantai tersebut.

Seorang penduduk Kampung Permatang Damar Laut, Samad Ismail, 58, menyatakan bahawa bau busuk itu sangat mengganggu kehidupan kira-kira 7,000 penduduk di kawasan tersebut.
“Keadaan memang busuk, tetapi kami penduduk kampung tiada pilihan kerana rumah kami memang di sini. Memang laut ada selut, itu semua orang tahu tetapi tidak lah setebal yang ada sekarang ini.
“Selut yang ada di Pantai Esen ini, jika dilihat betul-betul, ia seperti bercampur dengan minyak. Mungkin sebab itu ia menyebabkan ia berbau busuk.
“Dahulu, penduduk kampung selalu mencari siput remis di pesisiran pantai tetapi kini, kena korek pasir sebab ia berada di dalam pasir. Tetapi kini, siput-siput itu dengan sendirinya naik ke atas pasir dan ia menandakan keadaan pasir di sini tidak bersih,” katanya.
Tambahnya, penduduk yang mengutip siput di kawasan tersebut juga khuatir hasil kutipan mereka tercemar dan boleh mengakibatkan keracunan makanan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Jaffar Osman, 67, berkata, kekurangan pengunjung telah menyebabkan gerai-gerai jualan di pesisir pantai terpaksa ditutup.

“Ada empat hingga lima gerai di sini terpaksa ditutup kerana tiada pengunjung. Perniagaan kayak juga tutup kerana dengan keadaan air laut yang berselut, ia tidak sesuai untuk sukan air itu dijalankan.
“Pengunjung pun tidak mahu kasut dan pakaian mereka kotor jika terkena selut. Oleh itu, pengusaha kayak di sini terpaksa menutup perniagaan mereka,” katanya.
Tambahnya, selut tebal berwarna hitam itu dipercayai berpunca daripada kerja tambakan laut bagi Projek Pulau Silikon yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.
“Kami percaya, semua masalah ini berpunca daripada kerja tambakan yang dijalankan ini.
“Pihak kontraktor dipercayai menyedut pasir dari dalam laut dan membuang semula selut menyebabkan selut makin menebal di pesisiran pantai.
“Mereka hanya ambil pasir sahaja, selut mereka buang. Saya difahamkan, bukan di Pantai Esen sahaja menghadapi masalah ini malah di Sungai Batu dan Jelutong juga,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, air laut akan naik sehingga ke daratan sekiranya musim air pasang besar sebelum projek tambakan itu dijalankan. Tetapi kini, ia seperti tersekat.

“Dahulu, jika air pasang besar, air akan naik sampai ke atas dan keadaan itu akan menyebabkan persisiran pantai bersih selepas air surut. Ia adalah fenomena semula jadi.
“Tetapi apabila projek tambakan dijalankan, air naik hanya di pesisiran pantai sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, Jaafar berkata, penduduk berharap pihak berwajib dapat segera menyelesaikan masalah ini dan memulihkan keindahan Pantai Esen seperti dahulu.
“Kami tak mahu tahu apa puncanya, apa yang kami mahu, selesaikan segera masalah ini. Kembalikan keindahan Pantai Esen seperti dahulu. Kami mahu pantai ini meriah dengan ramai pengunjung seperti sebelum ini.
“Pantai ini amat popular, pengunjung luar datang buat penggambaran filem, muzik video, ambil gambar buat poskad dan banyak lagi. Tetapi kini, siapa pun tak mahu datang ke sini,” tambahnya.
Seorang penduduk pula, M Annathurai, 55, telah menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya untuk pemakluman mengenai masalah ini sekali gus memohon tindakan segera diambil.
“Saya sudah tulis surat kepada JAS malah ada penduduk yang sudah membuat laporan polis.
“Kami berharap, pihak bertanggungjawab memandang serius masalah kami ini. Kasihani lah penduduk kampung yang tinggal dan cari makan di sini. Kami tidak tahu masalah apa lagi akan timbul selepas ini jika tindakan tidak diambil,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus, memaklumkan bahawa beberapa pegawai telah diarahkan untuk membantu JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memantau kawasan sekitar pantai.
Jelas beliau, pemantauan terperinci telah dilakukan setiap tiga bulan, termasuk bulan Mac, Jun dan Oktober tahun ini.
“Laporan-laporan ini telah diserahkan kepada JPS dan analisis menunjukkan tiada perubahan yang ketara berbanding dengan kajian awal.
“Selain itu, siasatan pada tanah di pantai tersebut antara tahun 2014 dan 2016 secara konsisten menunjukkan terdapat lapisan tanah liat lembut yang tebal di dasar laut di pesisir pantai selatan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Manakala, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan berkata, perkara terbabit masih dalam siasatan, selain masih menunggu hasil analisis sampel yang diambil untuk menyiasat punca sebenar pencemaran.
BACA: Israel Dakwa Calon Pemimpin Baharu Hizbullah Telah Terkorban
Sumber: Sinar Harian