Siakap Keli
cukai baharu Thailand
Sumber: Bangkok Post

Thailand Dijangka Bakal Perkenal Cukai Baharu Kepada Pelancong

Thailand Dijangka Bakal Perkenal Cukai Baharu Kepada Pelancong

Thailand dijangka akan memperkenalkan cukai baharu kepada pelancong yang memasuki negara tersebut, menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand.

Menurut Bangkok Post, fasa pertama pelaksanaan cukai ini melibatkan kutipan sebanyak 300 baht (sekitar RM38) dan akan dikenakan kepada pelancong yang tiba melalui penerbangan.

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan daripada kabinet pada Januari 2023.

Jelas beliau, ia sebenarnya telah diluluskan pada Februari 2023, oleh kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Prayut Chan-o-cha.

Namun, disebabkan perubahan dalam pentadbiran selepas pilihan raya umum, cukai ini perlu dikaji semula dan mendapat persetujuan daripada kabinet baharu sebelum dapat dilaksanakan.

Menurut Sorawong, pelaksanaan cukai ini dijangka bermula dengan pelancong yang tiba melalui penerbangan terlebih dahulu.

Selepas itu, sistem kutipan cukai akan memerlukan masa selama enam bulan untuk disiapkan sebelum fasa kedua diperkenalkan, iaitu melibatkan pelancong yang masuk melalui jalan darat.

Sistem transaksi untuk kutipan cukai ini telahpun disediakan dan akan dikendalikan oleh Krungthai Bank.

Pelancong boleh membuat pembayaran melalui laman web atau aplikasi khas yang sedang dibangunkan.

Difahamkan, kaedah pembayaran ini mirip dengan sistem K-ETA di Korea Selatan, di mana pelancong perlu mendaftar dan membuat bayaran secara dalam talian sebelum masuk ke negara tersebut.

BACA: BRICS Tegaskan Sokongan Untuk Keahlian Penuh Palestin Dalam PBB

Selepas kerajaan meluluskan projek ini, kementerian akan memulakan proses perolehan untuk mendapatkan syarikat perisian dan syarikat insurans untuk menawarkan polisi insurans kepada pelancong.

Daripada jumlah 300 baht yang dikutip, sebanyak 60 baht (sekitar RM7) akan digunakan bagi insurans pelancong.

Insurans ini menawarkan perlindungan selama 30 hari, kerana kajian menunjukkan bahawa 87 peratus pelancong hanya tinggal di Thailand selama sebulan atau kurang.

Pampasan yang ditawarkan adalah sama seperti polisi sebelumnya, dengan bayaran 1 juta baht (sekitar RM128 ribu) sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan, dan 500,000 baht (sekitar RM64 ribu) untuk kecederaan.

Selain itu, kementerian bercadang untuk menetapkan kadar cukai yang sama, iaitu 300 baht, bagi semua pelancong tidak kira dari mana mereka memasuki Thailand, sama ada melalui udara, darat atau laut.

Ini bertujuan untuk mengelakkan tuduhan diskriminasi, kerana kerajaan terdahulu menetapkan kadar yang lebih rendah bagi pelancong yang masuk melalui darat dan laut, iaitu hanya 150 baht (sekitar RM19).

Bagi individu yang sering melintasi sempadan untuk tujuan perdagangan, mereka akan dikecualikan daripada cukai ini dengan menggunakan pas sempadan khas.

Ini bertujuan untuk memastikan bahawa cukai pelancongan tidak membebankan golongan yang kerap melakukan urusan perniagaan rentas sempadan.

BACA: Malaysia Dan 12 Negara Lain Diiktiraf Secara Rasmi Sebagai Negara Rakan BRICS

BACA: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024

Sumber: Bangkok Post

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.