Siapa Ruben Amorim? Kenali Bakal Jurulatih Baharu Man United
Secara rasmi semalam wartawan antarabangsa, Fabrizio Roman mengesahkan Ruben Amorim bakal mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Manchester United yang baharu, selepas kerusi panas itu ditinggalkan oleh Erik Ten Hag.
Ia selepas United di bawah kendalian jurulatih Belanda itu mengalami kemerosotan prestasi drastik musim ini sehingga menduduki kelompok bawahan liga.
Kedatangan Ruben Amorim ini setidak-tidaknya memberikan nafas dan harapan baharu untuk peminat kelab terbaik dunia itu untuk kembali bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana.
Bagaimanapun, timbul pelbagai persoalan berhubung latar belakang bekas pengurus Sporting Lisbon itu yang sanggup melepaskan jawatannya di Portugal sebelum berangkat ke London.
Oleh itu, SK hari ini akan kongsikan fakta mengenai pengendali baharu The Red Devils ini di bawah.
Biodata Ruben Amorim

Ruben Amorim dilahirkan pada 27 Januari 1985 di sebuah bandar, Lisbon di Portugal.
Jurulatih berusia 39 tahun itu merupakan bekas pemain bola sepak profesional sebelum menceburi bidang kejurulatihan.
Karier Bola Sepak
Amorim pertama kali membuat penampilan sulung dalam pasukan bola sepak profesional bersama kelab Portugal, Belenenses pada tahun 2003.
Kemudian, dia menandatangani Benfica pada musim panas 2008 sebelum berpindah ke SC Braga sebagai pemain pinjaman dan dibeli oleh kelab itu pada musim seterusnya.
Amorim juga pernah dipinjamkan ke kelab Qatar, Al Wakrah sebelum kembali semula ke Benfica dan mengumumkan persaraan pada usia 32 tahun pada 2017.
Karier Sebagai Jurulatih

Tidak menunggu masa yang lama, Amorim bergelar pengendali kelab divisyen tiga Portugal, Casa Pia setahun kemudian walaupun hanya sempat membimbing empat perlawanan.
Pada 2019, Amorim dilantik menjadi pengendali kelab SC Braga dan mengendalikan sebanyak 13 perlawanan.
Ekoran prestasi yang cemerlang, dia kemudiannya dilantik sebagai jurulatih Sporting Lisbon pada 2020.
Di sini, Amorim berjaya menunjukkan kewibaannya sebagai pengurus meskipun masih muda berbanding jurulatih lain.
BACA: Ten Hag Laung Amaran Awal, Percaya MU Mampu Jadi Juara EPL
Sepanjang 228 perlawanan bersama kelab itu, Amorim berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Liga Primeira selama 19 tahun kelab itu pada 2021. Ia sekaligus mematahkan dominasi saingan liga domestik itu yang dipegang oleh Benfica dan Porto.

Bahkan, Amorim juga berjaya melahirkan ramai bintang muda dari kelab itu seperti Joao Palhinha, Matheus Nunes, Pedro Porro dan Manuel Ugarte.
Kini, Amorim secara sah bergelar pengendali kepada salah satu kelab terbesar di Eropah, Manchester United.
Perwatakan & gaya permainan
Bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris, Amorim juga terkenal dengan keperibadiannya yang teguh, berpengetahuan luas dalam taktikal dan bersikap santai.
Sewaktu di Sporting, dia biasanya menggunakan formasi dengan intensiti tinggi 3-4-3.
Pencapaian
Sepanjang bergelar jurulatih, Ruben Amorim berjaya merangkul lima trofi iaitu tiga kejuaraan liga, dua Piala Juara Portugal dan satu Piala Super Portugal.
Persoalanya kini, adakah Amorim mampu membawa United kembali semula ke zaman keemasan kelab itu?
Sumber: The Independent, Transfermarket