Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER 2024 – YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Dr. Waleed Khalifa Almanea, Duta Besar Bahrain Ke Malaysia di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2024. Hadir sama dalam pertemuan ini ialah YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha KPKM dan YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian serta pegawai-pegawai kanan Kementerian.
YB Menteri mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pentauliahan TYT Dr. Waleed sebagai Duta Besar Bahrain ke Malaysia sempena Penyerahan Watikah Pelantikan Duta Asing kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Julai 2024 yang lalu.
Tahun 2024 menyaksikan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia Bahrain dan kedua-dua negara bertekad memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

Malaysia telah berkongsi pengalaman mengenai pengurusan pengairan dan saliran serta berharap dapat bekerjasama dengan Bahrain dalam teknologi ketepatan pertanian dan penggunaan air kitar semula yang merupakan sumber air yang mampan dan selamat dalam pengeluaran pertanian. Penggunaan air kitar semula dapat menjimatkan kos pengeluaran pertanian serta melindungi sumber air.
KPKM mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan institusi penyelidikan di Bahrain sebagai inisiatif memperkukuh keterjaminan makanan.

Selain itu, Malaysia berkongsi sasaran untuk meningkatkan pengeluaran sektor akuakultur daripada 40 peratus kepada 60 peratus dan berhasrat untuk mempelajari teknologi dan kepakaran daripada pihak Bahrain yang berjaya menjalankan aktiviti akuakultur di laut secara meluas. Sehubungan itu, kerjasama antara kedua-dua negara boleh diterokai bagi meningkatkan aktiviti akuakultur tempatan di perairan negara.
Selain membincangkan potensi kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, pertemuan sulung kedua-dua pemimpin ini turut memfokuskan usaha bagi meningkatkan akses pasaran produk Malaysia ke Bahrain serta menerokai pasaran di Negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC).