Gelagat ‘Aunty’ Bantu Wanita Rakam Momen Bersama Keluarga Tuai Pujian
Kalau dah namanya ‘mak-mak’, mesti takkan miss untuk abadikan setiap kenangan indah bersama keluarga, terutama sekali dengan anak-anak tercinta.
Tak kiralah dalam bentuk foto atau video, tangan mereka pasti automatik capai telefon bimbit bila ada momen berharga depan mata.
Daripada zaman mengandung, tunggu si kecil lahir, hinggalah ke saat anak-anak jejak kaki ke sekolah buat pertama kali.
Belum masuk lagi bab acara sukan, naik pentas terima sijil, pagi raya dengan baju sedondon atau sambutan hari lahir anak-anak. Betul tak? Kamera mak-mak mesti selalu standby.
Sama juga dengan seorang ibu yang tular di TikTok baru-baru ini. Video yang dikongsi oleh @rosafidaismail ini menunjukkan sambutan hari jadi anak lelakinya yang penuh kehangatan.
Apa yang menarik dalam video tu adalah satu momen yang cukup sederhana tapi penuh makna.
Ketika semua ahli keluarga tersenyum depan kamera si ibu yang sibuk merakam momen tersebut, seorang aunty Cina yang kebetulan ada di situ, tiba-tiba menghampiri mereka.
“Biar saya tolong rakamkan,” katanya selepas mengambil telefon si ibu. Dia pastikan semua orang, termasuk si ibu, ada dalam video tersebut.
Ibu sibuk jadi ‘jurugambar rasmi keluarga’
Di akhir rakaman, aunty itu berkata sesuatu yang begitu bermakna, tetapi mungkin ‘menusuk’ sesiapa yang mendengarnya.
“Selalu mama ambil gambar, tetapi mama tiada dalam gambar,” tambahnya lagi.
@rosafidaismail Aunty tu cakap “Selalu Mama amik gambar selalu Mama takde dalam gambar” Sangat memahami ya, sebab tu dia tolong amik video supaya Mama ada dalam video ni sekali 🥹 Baik sangat Aunty 🤍 Semoga Aunty sentiasa sihat & bahagia disamping keluarga Dia duduk dekat meja belakang tu. Perasan tak dalam video ni, dia nak bangun. Rupanya bangun sebab nak pegi dekat meja kita 🥹
Video itu kini telah mendapat lebih 200 ribu tontonan dan ruang komen dipenuhi dengan pujian.
Ramai yang memuji tindakan aunty tersebut kerana memahami dilema mak-mak yang sering terlepas peluang untuk berada dalam gambar.
“Bagusnya aunty tu, betul juga apa yang dikatakannya. Kebanyakan mak tiada momen dalam video sebab mak yang rakamkan,”
“Sangat memahami perasaan ibu-ibu. Baik hati betul,”
“Tak pernah terfikir benda ni. Simple, tapi ibu-ibu je yang faham betapa bermaknanya momen tu,”
Selain itu, perkongsian ini membuka mata ramai orang tentang betapa jarangnya seorang ibu berada dalam gambar keluarga.
Ada yang meluahkan rasa sebak kerana mereka terlalu sibuk menjadi ‘jurugambar rasmi keluarga’.
“Telefon saya penuh gambar anak-anak dan suami. Gambar sendiri boleh kira dengan jari,”
“Sedih pula bila fikir. Kita sibuk rakam kenangan untuk orang lain, tapi diri sendiri tak ada dalam kenangan itu,”
Tindakan aunty Cina itu adalah satu peringatan lembut buat kita semua.
Kadang-kadang kita perlu lebih menghargai ibu kita dengan merakamkan kenangan bersama mereka.
Ibu akan selamanya jadi ‘ibu’
Pada kaca mata seorang ibu, setiap hari adalah peluang untuk mencipta kenangan yang tak akan pernah terulang.
Mereka tahu bahawa anak-anak yang mereka lihat riang hari ini akan berubah menjadi dewasa yang punya jalan hidup sendiri.
Si kecil yang dulu suka melompat sambil panggil “Mama!” mungkin sudah jadi individu sibuk dengan kehidupan mereka sendiri nanti.
Namun, apa yang tinggal adalah kenangan-kenangan yang telah mereka abadikan.
Foto-foto dan video yang penuh dengan tawa, tangisan dan segala momen manis yang menjadi harta paling berharga, pengubat rindu ketika anak-anak sudah jauh.
Tapi, tanpa kita sedar, kita sebagai anak juga perlu mengabadikan saat-saat indah bersama ibu.
Kenangan yang kita rakam hari ini adalah ‘ubat’ yang akan memberi kekuatan buat kita di masa depan, terutama ketika kita merasa rindu dan ‘sakit’ meneruskan hidup tanpa mereka di sisi.
BACA: Dakwa Anak Perempuan ‘Terlalu Cantik’, Ujian DNA Dedah Kisah Mengejutkan
BACA: Peguam Harvard Bongkar Dakwaan Lokasi ‘Pangkalan Alien’ Di Bumi
BACA: Gelagat Nenek 80-an Jadi “Model” Curi Perhatian Warga Maya
Sumber: Ros Afida via TikTok