KPKT Prihatin Kebajikan Dan Kesejahteraan Penduduk Kampung Baru, Tidak Pinggir Kepentingan Kaum Lain
IPOH, 25 November 2024 – YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Lampu Jalan Solar Light-emitting diode (LED) Jenis Integrated di Kampung Baru Menglembu, dekat sini, semalam.
Projek ini dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak tahun 2023. KPKT telah meluluskan projek pemasangan 1,233 batang lampu jalan solar LED di 195 buah Kampung Baru yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 9.9 juta.
YB KM berkata pemasangan lampu jalan solar LED ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Baru.
“Dalam peruntukan Belanjawan 2025, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 84 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial di Kampung Baru. Selain itu, KPKT turut diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan kemudahan asas di perkampungan kaum India.
“Tiada sesiapa yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara kerana KPKT akan memastikan kesejahteraan rakyat di bandar mahupun luar bandar terpelihara seiring dengan pembangunan bandar mampan dan komuniti sejahtera yang kita perjuangkan selama ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, YB KM sebelumnya telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Program Bina Baharu Rumah Kampung Baru di Kampung Baru Menglembu.
Projek pembinaan rumah tersebut yang merupakan jenis Rumah Mesra Rakyat (RMR) dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Sepanjang tahun 2024, sebanyak 21 permohonan membina rumah baharu di Kampung Baru telah diluluskan.
Kos membina sebuah rumah baharu ini adalah sebanyak RM79,500. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kos untuk 21 permohonan itu adalah RM 1.6 juta.
Sementara itu, KPKT juga telah membaik pulih 283 unit rumah di bawah Program Bantuan Baikpulih Rumah (PBBPR) Kampung Baru dengan peruntukan sebanyak RM4,940,445.00.
KPKT menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan terus komited dalam melaksanakan pembangunan di Kampung Baru demi kemaslahatan penduduknya disamping menjaga kebajikan penduduk dan terus diperluaskan ke perkampungan kaum India.