Ini Sebab Sebenar Kenapa Ada Cermin Dalam Lif
Setiap kali masuk ke dalam lif, perkara pertama yang kita perasan mesti cerminnya, betul tak?
Hampir semua lif, terutama di bangunan tinggi, dilengkapi dengan cermin yang besar. Kalau tak ada cermin, rasa macam pelik pula, kan?
Bagi kebanyakan orang, kewujudan cermin ini dianggap sebagai hiasan semata-mata. Para wanita terutamanya, mesti berfikir, “Oh, untuk betulkan tudung, rambut dan pakaian”.
Tapi, pernah tak korang tertanya-tanya, kenapa hampir setiap lif yang kita naik mesti ada cermin di dalamnya? Sebab kalau difikirkan secara logik, tak ada keperluan pun untuk ada cermin, kan?
Hakikatnya, ramai tak tahu cermin dalam lif ni lebih daripada sekadar hiasan, dan ada sebab lain kenapa hampir setiap lif ‘wajib’ ada cermin.
Apa yang korang perlu tahu tentang kewujudan lif?
Untuk memahami rahsia di sebalik cermin dalam lif, kita kena faham dulu sejarah lif itu sendiri.
Lif moden yang kita gunakan hari ini sebenarnya hasil revolusi teknologi yang panjang.
Dari zaman purba lagi, manusia dah cuba cipta mekanisme untuk mengangkat barang berat ke tempat yang tinggi.
Tapi, lif yang kita lihat sekarang sangat jauh berbeza daripada lif yang digunakan pada zaman dahulu.

Mana tidaknya, lif dulu hanya bergantung pada tali untuk naik dan turun. Kalau tali putus, bayangkan saja betapa mengerikan jatuh dari ketinggian tinggi.
Difahamkan, lif seperti yang kita lihat sekarang mula berkembang pesat selepas seorang jurutera bernama Elisha Otis memperkenalkan sistem brek keselamatan pada tahun 1850-an.
Sistem brek Otis inilah yang akhirnya menjadikan lif lebih selamat dan mampu digunakan di bangunan tinggi.
Jadi, kenapa perlunya cermin dalam lif?
Bagaimanapun, meski masalah lif jatuh dapat diselesaikan, timbul pula cabaran lain.
Bagi orang yang mengalami claustrophobia (takut ruang sempit), lif boleh jadi satu pengalaman yang sangat mencabar, dan cermin dipercayai bantu masalah ini.
1. Meredakan perasaan cemas dan claustrophobia
Cermin dalam lif direka untuk membantu pengguna rasa lebih tenang.
Pantulan pada cermin memberi ilusi ruang yang lebih luas, sekali gus mengurangkan rasa sempit dan ‘terkurung’.
Pengguna juga dapat mengalihkan perhatian daripada memikirkan ruang kecil tersebut dengan memandang ke arah cermin.
2. Keselamatan pengguna
Cermin membolehkan kita memerhati sekeliling dengan lebih jelas. Ini penting terutama dalam lif yang sesak.
Dengan pantulan cermin, kita dapat mengesan pergerakan orang lain, mengelakkan insiden seperti kecurian atau gangguan fizikal.
3. Memudahkan pengguna kerusi roda
Bagi pengguna kerusi roda, cermin sangat membantu untuk memastikan posisi mereka betul ketika keluar masuk lif tanpa perlu berpusing-pusing.
Ini menjadikan pengalaman mereka lebih selesa dan lancar.
4. Membantu pengguna mengangkut barang besar
Cermin juga berguna apabila kita perlu mengangkat barang besar seperti perabot atau peralatan.
Dengan pantulan cermin, kita dapat memerhati pergerakan barang tersebut dan mengelakkannya daripada melanggar dinding lif atau pengguna lain.
Jadi, selain sekadar hiasan atau tempat ambil gambar #OOTD korang, cermin dalam lif sebenarnya ada fungsi lainnya.
Ia satu penyelesaian ‘kreatif’ untuk meningkatkan keselesaan, keselamatan dan pengalaman pengguna lif.
BACA: Ini 10 Carian Google Paling Tinggi Rakyat Malaysia Buat Pada 2024
BACA: Ini 5 Tip Nak Tahu Telur Masih Segar Atau Sudah Rosak
BACA: Bangunan 5 Tingkat ‘Berjalan’ Pindah Ke Lokasi Baharu Tanpa Diroboh
Sumber: Science ABC