Anaconda Hijau Maut Digilis, 40 Ekor Anak Terburai Atas Jalan
Seekor ular anaconda gergasi hijau dilapor mati akibat digilis kenderaan hingga menyebabkan perut haiwan tersebut terburai, lapor portal The Sun UK.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di Lebuh Raya MT-338 di Porto dos Gauchos di Brazil, Isnin lepas.
Dalam satu rakaman yang menjadi tular di media sosial, perut ular anaconda gergasi berwarna hijau sepanjang kira-kira lima meter itu terbelah hingga memperlihatkan kira-kira 40 ekor anaknya.
Menurut The Sun UK, semua anak ular itu turut mati dalam kejadian terbabit.
Anak-anak ular tersebut rata-ratanya mempunyai bentuk yang sudah lengkap dan bersaiz kira-kira 1 kaki panjang. Keadaan fizikal ular tersebut menandakan anak-anak ular berkenaan sudah menghampiri tempoh kelahiran.
Anconda hijau digilis kenderaan, perut terburai menampakkan 40 ekor anak
Tergolong dalam keluarga boa, ular anaconda gergasi hijau merupakan ular terberat di dunia. Ular tersebut boleh membesar hingga melebihi saiz 8 meter (panjang) dan 249 kilogram (berat).
Ular anaconda gergasi hijau tidak bertelur diluar kerana spesis ini adalah tergolong dalam jenis ovoviviparous. Ini bermakna, telur anaconda gergasi hijau membesar di dalam tubuh ibu dan tidak ‘dikeluarkan’ seperti reptilia lain.
Semasa fasa pembesaran dalam perut, embrio mendapat nutrisi daripada kuning telur (yolk sac) di dalamnya. Anak-anak ular ini kemudian dilahirkan hidup selepas menetas di dalam tubuh ibu.
Ular ini boleh melahirkan antara 20 hingga 50 ekor anak, adakalanya lebih, dalam satu-satu masa.
Sebagai spesis akuatik, penyesuaian kaedah pembiakan ini dapat melindungi kemandirian ular anaconda gergasi hijau di alam semula jadi.
Hal ini kerana, telur yang diletakkan di habitat yang berair lebih terdedah kepada haiwan pemangsa sekaligus boleh menjejaskan kelangsungan spesis ular tersebut.
BACA: Asyik Kejar Makanan Viral & Foodtruck, Sekali Lain Pula Jadi Bila Jumpa Trak ‘Istimewa’ Ni
BACA: Lelaki Meninggal Dunia Selepas Solat Subuh Berjemaah
Sumber: The Sun UK, San Diego Zoo, Pets on Mom