Siakap Keli
punca kena gout
Kredit: ImageFX

Bukan Lagi Penyakit Orang Tua, Ini Punca Orang Muda Pun Ramai Kena Gout

Bukan Lagi Penyakit Orang Tua, Ini Punca Orang Muda Pun Ramai Kena Gout

Dalam dunia ini, banyak yang perlu kita syukuri walaupun kadang kala ada perkara yang berlaku tidak seperti kita inginkan. Contohnya tubuh badan, ia adalah salah satu satu kurniaan dan juga amanah dari Tuhan yang tidak ternilai. Justeru, menjadi tanggungjawab untuk kita menjaga tubuh ini agar terhindar dari keburukan.

Disebabkan itu pentingnya untuk menjaga kesihatan diri. Jika mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat, kemungkinan akan timbul pelbagai penyakit yang tidak dijangka seperti penyakit gout.

Semestinya ramai yang tahu dan sebut mengenai penyakit ini, namun sejauh mana kesedaran untuk elakkan ia berlaku? Malah, ada juga yang menjadikan penyakit ini sebagai ‘bahan lawak’ sehingga ia mungkin dianggap tidak begitu serius.

Selain itu, ada yang menyangka bahawa hanya orang tua sahaja yang akan mengalami penyakit ini. Walhal zaman sudah berubah, gaya hidup yang tidak sihat dan diet pemakanan yang tidak seimbang menjadikan golongan muda juga menderita penyakit gout ini.

Beringatlah kerana bila datangnya sakit gout ini, segala urusan seharian anda mungkin akan terbatas kerana tidak dapat bergerak.

Bagaimana penyakit gout boleh berlaku?

Bagi yang belum tahu, penyakit gout adalah radang sendi yang disebabkan oleh pemendapan asid urik.

Jika tidak dirawat dengan baik, ia akan menyebabkan masalah lain yang lebih teruk iaitu pembentukan tophi (bengkak di bawah kulit yang mengandungi kristal asid urik), batu karang dan kerosakan sendi tulang.

Simptom gout

Perlu ditegaskan bahawa serangan gout mungkin datang dan pergi dan biasanya tidak bergejala di antara serangan.

Namun, jika anda sakit sendi secara tiba-tiba dan bertambah teruk dalam beberapa jam, mungkin anda perlu risau.

Simptom lain pula memperlihatkan sendi anda terasa panas dan bengkak dan biasanya berlaku pada jari kaki. Pun begitu, ia juga boleh berlaku pada sendi lain.

Mitos gout

Dalam pada itu, ramai juga sebenarnya yang percaya kepada mitos-mitos yang sudah tentu tidak betul mengenai penyakit ini.

Antara mitos yang tersebar adalah pesakit boleh menunggu satu hingga dua hari sebelum mengambil rawatan atau menunggu sakit surut sendiri. Tetapi menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesakitan gout dapat dikawal dengan cepat iaitu seawal satu jam jika pesakit bertindak cepat iaitu seawal tanda-tanda gout bermula. Pengambilan ubat yang betul dapat membantu mengurangkan sakit tersebut.

Selain itu, ada juga yang percaya bahawa gout hanya dirawat bila berlaku serangan dan tidak perlu memakan ubat yang diberikan oleh doktor seperti allopurinol atau febuxostat. Fakta sebenarnya adalah jika anda mendapat serangan akut dan sudah pun diberikan dua ubat itu, anda tidak sepatutnya berhenti memakan ubat tersebut.

Mitos lain yang sering didengari adalah asid urik boleh kurang hanya dengan mengelak makanan yang mengandungi asid urik tinggi seperti makanan laut. Bagaimanapun, asid urik sebenarnya berasal daripada purin yang boleh diperoleh daripada makanan. Justeru kandungan purin tinggi adalah makanan yang perlu dielakkan.

Seperti yang dinyatakan tadi, ubat allopurinol perlu dimakan dalam proses rawatan jangka masa panjang. Bagi rawatan jangka masa pendek, doktor akan memberikan ubat colchicine, tahan sakit atau steroid. Ingat, jangan makan ubat tanpa nasihat dari doktor.

Tip kurangkan sakit gout

KKM juga memberikan tip penting iaitu semasa serangan gout akut berlaku, pesakit perlu minum air yang banyak, rehatkan sendi sehingga sakit lega dan tuam sejuk/ ice pack pada sendi yang terlibat.

Disebabkan itu anda perlu prihatin terhadap diri sendiri dan mulakan langkah yang perlu untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Mungkin anda boleh mulakan dengan menyertai MyCHAMPION untuk mengetahui maklumat penjagaan kesihatan dan kebersihan persekitaran bagi kegunaan diri sendiri dan sekaligus menjadi agen penyampaian maklumat kesihatan kepada komuniti. Anda juga boleh menggalakkan orang lain menjadi MyCHAMPION.

Anda juga boleh menasihati orang ramai untuk menjaga pemakanan dan menghindari penyakit gout jika menjadi sukarelawan MyCHAMPION ini.

Syarat sertai MyCHAMPION

Jangan risau, MyCHAMPION ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur. Namun, bagi adik-adik bawah umur, anda perlu mendapatkan kebenaran dari ibu bapa terlebih dahulu sebelum mendaftar.

Di samping itu, ahli-ahli daripada organisasi sukarelawan lain juga boleh menyertai MyCHAMPION. Malah, anda yang tidak terlibat dengan mana-mana organisasi juga amat digalakkan mendaftar.

Untuk maklumat lanjut tentang gout atau mendaftar sebagai ahli MyCHAMPION, layari laman web KKM atau boleh terus mendaftar di aplikasi MySejahtera.

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.