Pendakwah, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim Meninggal Dunia
Pendakwah dan penulis buku terkenal, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim telah meninggal dunia pada jam 7.19 malam tadi.
Berita duka itu dikongsikan oleh isterinya Raudzah Roslan di Facebook.
“Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, lindungilah dia dan maafkanlah dia.
“Semoga Allah merahmatimu,” katanya menerusi kiriman ringkas di Facebook.
Menerusi perkongsiannya sebelum ini, Allahyarham yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan kritikal sejak minggu lalu.
“Keadaan suamiku Muhd Kamil Ibrahim agak kritikal pagi ini.
“Beliau mohon maaf pada semua. Doakan dipermudahkan urusannya di dunia, di alam kubur lebih lagi di padang mahsyar akhirat nanti,” katanya.
Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Negeri Shah Alam pada pagi esok.
BACA: Pemenang Pertama Anugerah Kajai, Rosnah Abd Majid Meninggal Dunia
Sementara itu, rakan-rakan dan juga pelajar yang mengenali Allahyarham turut menukilkan ucapan takziah di media sosial.
“Mendapat perkhabaran duka kembalinya ke rahmatullah kakanda saya, senior MRSM PC, mentor, guru dan pendakwah yang sangat saya sayangi dan hormati Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim atau Dr. MKI yang baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir.
“Terima kasih Prof atas segala perkongsian dan nasihat serta tunjuk ajar selama ini sehingga thirdforce yang dimulai sejak 10 tahun lepas berkembang jadi besar dan kini dinaungi Yayasan Raja Shamri yang dah masuk tahun ke 5 beroperasi,” kata aktivitis kemanusiaan, Raja Shamri.
Ustaz Roslan Mohamed yang juga pendakwah turut berkongsi kenangannya bersama Allahyarham.
“Buat almarhum Dr Muhd Kamil Ibrahim, didoakan moga tenang bahagia di alam sana bersama para solihin, Amin Ya Rabbal Alamin.
“Banyak kenangan yang membahagiakan dengan almarhum semasa hayatnya. Pernah ziarah kediamannya di Madinah. Kerap bertemu di dalam pelbagai program.
“Kepada Puan Raudzah@Rodza Roslan dan seluruh keluarga, diucapkan takziah dan bersabar. Amin,” katanya.
Selain terkenal dengan buku tulisannya yang bertajuk Travelog Haji, Allahyarham juga merupakan profesor perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Semoga roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan dimasukkan ke syurga bersama orang-orang yang soleh. Salam takziah buat keluarga Allahyarham, semoga tabah menghadapi ujian ini.
Sumber: Raudzah Roslan, Raja Shamri