Pengakhiran Baik, Imam Meninggal Dunia Saat Sujud Tilawah Ketika Solat Subuh
Seorang imam sebuah surau dilaporkan meninggal dunia dalam sujud ketika mengimamkan solat subuh, pada Jumaat.
Menurut Sinar Harian, kejadian berlaku di Surau Permatang Pak Elong, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sewaktu kejadian, Allahyarham Yakob Ramli difahamkan sedang melakukan sujud tilawah sebelum dia dikatakan tiba-tiba terdiam dan tidak bergerak.
Dalam pada itu, sekeping gambar yang tular melibatkan kejadian itu turut menunjukkan beberapa jemaah cuba memberi bantuan CPR kepada Allahyarham.
Imam meninggal dunia dalam sujud, ketika imamkan solat subuh
Bagaimanapun, Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dibawa ke Hospital Kepala Batas.
Menurut Sinar Harian, jenazah imam itu sudah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Permatang Bogak selepas solat Jumaat hari ini.
Sementara itu di media sosial, warga maya memberi pelbagai reaksi dengan berita berkenaan.
Namun rata-rata mencemburi ‘pemergian’ Allahyarham yang dijemput pulang ke negeri abadi ketika sedang sujud kepada Yang Maha Esa.
Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan takziah
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan takziah menerusi hantaran di Facebook miliknya.
“Menerima perkhabaran duka Allahyarham Yaakob Ramli, Imam Surau Permatang Pak Elong telah kembali ke rahmatullah pagi tadi
“Allahyarham meninggal dunia sewaktu sujud sejadah pagi ini di Surau Permatang Pak Elong. Beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Permatang Bogak.
“Takziah diucapkan kepada Nurazimah Yaakob dan keluarga. Encik Nazli Aziz, Pegawai Pusat Khidmat ADUN Bertam mewakili saya menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham,” ujar hantaran itu.