Siakap Keli
Kredit: AFP

Pingat Olimpik Paris Yang Rosak Bakal Diganti – IOC

Pingat Olimpik Paris Yang Rosak Bakal Diganti – IOC

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan mana-mana pingat Sukan Olimpik Paris 2024 yang rosak bakal digantikan dengan model yang serupa, lapor AFP.

“Pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 sedang bekerjasama rapat dengan Monnaie de Paris (penempa negara Perancis), iaitu institusi yang bertanggungjawab sebagai pengeluar dan pengawal kualiti pingat-pingat tersebut. Ia bagi menilai sebarang aduan berkenaan pingat dan memahami keadaan serta penyebab sebarang kerosakan yang berlaku.

“Pingat yang rosak akan digantikan secara sistematik oleh Monnaie de Paris dan diukir serupa (dengan pingat asal).

“Proses penggantian bakal bermula pada minggu hadapan,” maklum IOC.

Jurucakap Monnaie de Paris menolak istilah ‘cacat’ yang digunakan terhadap pingat-pingat tersebut. Menurut mereka, pingat yang telah dilaporkan ‘rosak’ oleh para atlet semenjak Ogos lalu telah diganti.

“Kami telah menggantikan semua pingat yang rosak sejak Ogos dan kami akan teruskan usaha ini secara profesional, sama seperti sebelum ini. Pingat gantian juga sedang dalam pembikinan apabila aduan diterima,” ujarnya.

Menurut sumber lain, lebih 100 pingat yang rosak telah dipulangkan oleh atlet yang tidak berpuas hati apabila melihat keadaan pingat yang semakin buruk. Malah, ada di antara mereka yang memuat naik gambar pingat yang diterima di laman media sosial.

Salah seorang atlet yang turut memuat naik perkara ini di media sosial adalah atlet papan luncur Amerika Syarikat, Nyjah Huston.  Pemain itu memenangi pingat gangsa dalam acara papan luncur jalanan pada 29 Julai.

Huston memuat naik rasa tidak puas hatinya tentang keadaan pingat tersebut selepas 10 hari menerimanya.

“Pingat Olimpik ni nampak begitu mengagumkan ketika baru diterima, tetapi selepas biarkan ia bersentuhan dengan kulit ketika saya berpeluh sedikit, dan dalam masa seminggu disentuh oleh rakan-rakan, kualitinya tidaklah sebaik yang anda sangkakan.

“Ia nampak kasar. Walaupun di bahagian hadapan, dah mula sumbing sedikit,” luahnya.

Keadaan tersebut dipercayai berlaku disebabkan penggunaan jenis varnis yang berlainan dari sebelum ini. Ia berikutan terdapat larangan terhadap penggunaan salah satu komponen varnis dalam tempoh yang singkat.

BACA: Ketahui Sebab Pingat Olimpik Paris 2024 Unik

Sumber: AFP

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: