Siakap Keli
Kontrak baharu Ronaldo Al-Nassr
Kredit: AFP

Kontrak Baharu Ronaldo Bersama Al-Nassr Cukup ‘Lumayan’

Kontrak Baharu Ronaldo Bersama Al-Nassr Cukup ‘Lumayan’

Cristiano Ronaldo sekali lagi mencipta sejarah dalam dunia bola sepak apabila kontrak baharunya bersama Al-Nassr menjadikan beliau pemain dengan gaji tertinggi di dunia.

Penyerang kelahiran Portugal itu kini bakal menikmati pendapatan yang jauh melebihi rekod sebelumnya, mengukuhkan lagi statusnya sebagai ikon global dalam sukan ini.

Kontrak bernilai ‘luar biasa’

Menurut laporan media tempatan, Al-Nassr menawarkan Ronaldo lanjutan kontrak bernilai lebih £167.9 juta (sekitar RM923 juta) setahun.

Kontrak lanjutan ini bakal menyaksikan Ronaldo memperoleh £3.19 juta (sekitar RM21 juta) seminggu. Ini bersamaan dengan £419,800 (sekitar RM2 juta) sehari atau £291 (sekitar RM1,600) seminit.

Tambahan pula, kontrak baharu ini memberikan Ronaldo hak pemilikan lima peratus saham dalam kelab Al-Nassr.

Difahamkan, ini adalah pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam menaikkan nama kelab, selain meningkatkan daya tarikan Liga Pro Saudi.

Pengaruh besar Ronaldo

Sejak menyertai Al-Nassr pada Januari 2023 selepas meninggalkan Manchester United (MU), Ronaldo menunjukkan impak besar bukan sahaja di atas padang. Malah, juga di luar padang.

Beliau menjadi wajah promosi utama untuk pelbagai kempen negara, termasuk sambutan Hari Kebangsaan Saudi dan destinasi pelancongan popular.

Dalam 84 penampilan bersama Al-Nassr, Ronaldo telah menjaringkan 75 gol, satu rekod luar biasa yang membuktikan prestasi cemerlangnya meski kini berusia 39 tahun.

Bagaimanapun, Ronaldo masih bercita-cita untuk menambah trofi utama dalam koleksinya bersama Al-Nassr.

Setakat ini, beliau hanya meraih satu kejuaraan, iaitu Arab Club Championship 2023.

Dengan Al-Nassr kini berada di tangga ketiga liga, Ronaldo tekad untuk membantu pasukannya bersaing merebut gelaran juara, meskipun Al-Hilal dan Al-Ittihad kekal mendominasi liga.

Liga Pro Saudi semakin mendapat perhatian pemain antarabangsa

Kehadiran Ronaldo di Liga Pro Saudi telah menarik perhatian ramai pemain bintang dunia seperti Neymar Jr., Karim Benzema dan N’Golo Kanté untuk berhijrah ke liga tersebut.

Revolusi ini memperkukuh Liga Pro Saudi sebagai ‘destinasi menarik’ bagi pemain bertaraf antarabangsa untuk mengembangkan kerjaya dalam dunia sukan bola sepak.

Baru-baru ini, Ronaldo memuji tahap kompetitif Liga Pro Saudi, malah menyatakan liga tersebut lebih mencabar berbanding Ligue 1 di Perancis.

Lebih menarik, beliau menegaskan cabaran bermain dalam suhu tinggi sebagai salah satu aspek yang menjadikan liga itu unik.

“Saya telah menjadi juara di mana-mana sahaja saya bermain, dan saya percaya saya akan terus menjadi juara,” ujar Ronaldo ketika berucap di Anugerah Globe Soccer di Dubai.

BACA: Ronaldo Kongsi Sebab Ingin Kekal Di Arab Saudi

BACA: Ini Bayaran Ronaldo Untuk Satu ‘Sponsored Post’ Di Instagramnya

BACA: Cecah Hampir 40 Juta ‘Subscribers’ Dalam 72 Jam, Ronaldo Raih Pendapatan Lumayan Dari YouTube

Sumber: Daily Mail

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.