Cecah Hampir 40 Juta ‘Subscribers’ Dalam 72 Jam, Ronaldo Raih Pendapatan Lumayan Dari YouTube
Bintang bola sepak terkenal dengan lima kali gelaran Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo, terus menambah kekayaannya yang kini dianggarkan bernilai 600 juta Dolar.
Peningkatan kekayaan sebanyak 100 juta Dolar ini dipercayai diperoleh menerusi pelbagai usaha.
Antaranya termasuklah aplikasi kecergasan, kerjasama dengan Whoop, perjanjian penajaan dengan Binance, dan kini, saluran YouTube miliknya, ‘UR Cristiano’.
Saluran ini telah menjadi sumber pendapatan terbarunya, yang berpotensi meningkatkan lagi pendapatan Ronaldo ke tahap yang lebih tinggi.
Sejak pelancarannya, saluran YouTube ‘UR Cristiano’ mencatat rekod dunia apabila berjaya menarik 20 juta pengikut (subscribers) dalam masa 24 jam sahaja.
Rekod ini dikatakan memecahkan rekod yang dipegang oleh pempengaruh (influencer) Amerika, Mr. Beast.
Pada masa ini, saluran tersebut telah mengumpulkan 39 juta pengikut, menjadikannya salah satu saluran terkenal di YouTube.
Walaupun jumlah pengikut adalah penting, YouTube lebih mengutamakan jumlah tontonan dalam memberikan ‘ganjaran’ kepada pencipta kandungan.
Justeru, dengan peningkatan bilangan pengikut, Ronaldo turut memperoleh peningkatan jumlah tontonan video.
Sehingga kini, Ronaldo telah memuat naik 19 video di salurannya. Kesemuanya mendapat sambutan hangat daripada peminat yang ingin melihat sisi peribadi kapten Al Nassr ini.
Setakat ini, saluran ‘UR Cristiano’ telah mengumpulkan sebanyak 177,007,767 tontonan secara keseluruhan.
Menurut anggaran, YouTube membayar kira-kira 6 Dolar bagi setiap 1,000 tontonan, yang bermaksud Ronaldo boleh memperoleh antara 1,200 Dolar hingga 6,000 Dolar bagi setiap satu juta tontonan.
Berdasarkan pengiraan ini, hasil daripada pendapatan iklan dan penajaan yang ditandatangani, Ronaldo berkemungkinan telah menjana lebih daripada 100 juta Dolar hanya daripada saluran YouTube miliknya.
Ini adalah satu pencapaian yang luar biasa bagi Ronaldo, yang kini menambah pendapatan dengan pantas melalui platform tersebut.
Ronaldo dijangka mampu kalahkan YouTuber terkenal, Mr. Beast
Walaupun Ronaldo telah memecahkan beberapa rekod, dia masih perlu bekerja keras untuk menyamai jumlah tontonan dan bilangan pengikut yang dimiliki oleh YouTuber dengan langganan tertinggi di dunia, Mr. Beast.
Mr. Beast kini mempunyai sekitar 311 juta pengikut dan memperoleh kira-kira 400 juta tontonan setiap bulan.
Ronaldo, yang telah mencapai lebih daripada 177 juta tontonan dalam masa tiga hari, berpotensi untuk melampaui angka tersebut dalam masa seminggu.
Dalam pada itu, pendapatan iklan Mr. Beast dilaporkan mencecah 5 juta Dolar setiap bulan. Justeru, tidak mustahil bagi Ronaldo untuk mengatasi pendapatan tersebut jika pertumbuhan salurannya terus meningkat.
Walau bagaimanapun, dengan 39 juta pengikut pada masa ini, Ronaldo masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk mengatasi Mr. Beast dalam jumlah pengikut.
Akan tetapi, dengan popularitinya yang meluas, terutamanya sebagai personaliti Instagram yang paling banyak diikuti di dunia, tidak mustahil bagi UR Cristiano untuk menjadi saluran YouTube terbesar di dunia suatu hari nanti.
BACA: Ini 10 Bintang Atlet Dengan Pendapatan Tertinggi Dunia Tahun 2024
BACA: Penjaga Gol Liverpool, Alisson Becker Dedah Tolak Tawaran ‘Lumayan’ Kelab Liga Pro Saudi
BACA: Terbuka Jepun: Sze Fei, Izzuddin Rangkul Gelaran Juara
Sumber: Essentially Sports