Terbuka Jepun: Sze Fei, Izzuddin Rangkul Gelaran Juara
Wakil tunggal Malaysia di final, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, berjaya menamatkan perjalanan mereka dengan cemerlang apabila muncul sebagai juara Terbuka Jepun di Yokohama Arena sebentar tadi.
Selepas menewaskan pasangan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana dalam separuh akhir, Sze Fei dan Izzuddin melangkah ke final untuk bertemu dengan beregu Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae, yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.
Pada set pertama, kedua-dua beregu dilihat saling menguji keupayaan masing-masing.
Sze Fei dan Izzuddin berjaya mendahului 20-18 sebelum menutup set pertama dengan kemenangan 21-19 selepas tempoh 21 minit permainan.
Dalam set kedua, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae cuba meningkatkan mutu permainan mereka, tetapi setiap usaha mereka berjaya ditangkis oleh Sze Fei dan Izzuddin.
Beregu Malaysia ini berjaya mendahului 15-11, kemudian melanjutkan kedudukan kepada 19-14 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-15.
Dengan kejayaan ini, Sze Fei dan Izzuddin membawa pulang wang kemenangan sebanyak ASD62,900 (RM275,226), jumlah terbesar yang mereka peroleh setakat ini.
Ini adalah kejohanan terakhir mereka di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas keputusan mereka untuk bergerak sebagai pemain profesional bermula bulan September ini.
BACA: Pengasas Aplikasi Telegram, Pavel Durov Dilapor Ditahan
BACA: SZBLOOMS Mempersembahkan Pesta Portmeirion: Jiwa Merdeka!
BACA: Burung Boleh Bawa Risiko Keselamatan Pesawat, Ketahui Kaedah Kawalan Burung Di Lapangan Terbang
Sumber: Stadium Astro