Ayam Gepuk Pak Gembus Cipta Sejarah, Terima Sijil Halal Jakim!
CYBERJAYA, 15 Januari – Ayam Gepuk Pak Gembus, makanan berasaskan resepi asli Indonesia yang disesuaikan dengan citarasa masyarakat Malaysia, mengumumkan bahawa mereka telah menerima pensijilan HALAL secara rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi 12 daripada keseluruhan 70 cawangannya di Malaysia. Pencapaian penting ini mencerminkan komitmen teguh Pak Gembus dalam mematuhi peraturan penguatkuasaan Halal selari dengan menyokong inisiatif kerajaan 2025 untuk memperkukuhkan industri Halal di Malaysia, di samping mengekalkan kebersihan, keaslian dan makanan yang berkualiti tinggi.
“Kami amat teruja untuk mengumumkan bahawa usaha kami untuk meluaskan pensijilan HALAL telah dicapai seperti yang dirancang, Kejayaan ini adalah kejayaan pelanggan kami” kata Zulkarnain Mohd Yusof, Ketua Pegawai Operasi Ayam Gepuk Pak Gembus Malaysia. “Selepas berjaya memperoleh pensijilan HALAL untuk “Central Kitchen” kami pada pertengahan tahun 2024, kini kami telah mengembangkan pencapaian ini ke peringkat cawangan, bermula dengan 12 cawangan sebagai permulaan. Bagi tahun 2025 pula, kami menyasarkan 50 cawangan seterusnya untuk memperoleh sijil HALAL. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada JAKIM atas sokongan kuat yang diberikan sepanjang proses mendapatkan sijil Halal ini. Kepercayaan yang diberikan ini membuktikan bahawa Pak Gembus sentiasa berusaha memastikan setiap hidangan kami memenuhi piawaian yang ketat, sekali gus memberi jaminan kepada pelanggan kami. Sijil Halal ini adalah pencapaian besar bagi kami dan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi jenama Pak Gembus di Malaysia,” tambah Zulkarnain Mohd Yusof.
Setakat ini, cawangan yang telah menerima sijil HALAL adalah Saujana Utama 3, Puncak Alam,Setiawangsa, Putra Heights, Semenyih, Bandar Seri Putra, Kajang, Kampung Pandan, NeoCyber, Bandar Baru Nilai, Seremban 3 and Bandar Enstek. Bagi cawangan yang lain, pelanggan tidak perlu risau kerana semua bekalan makanan ke semua cawangan adalah dari ”Central Kitchen” mereka yang telah diperakui Halal. Tambah beliau lagi, “Matlamat kami adalah untuk sentiasa menyediakan makanan dan layanan yang terbaik kepada semua pelanggan, dan dengan pencapaian pensijilan Halal ini, kami dapat meyakinkan lebih ramai masyarakat dan komuniti untuk menikmati hidangan di Pak Gembus tanpa ada keraguan dan was-was”.
Selari dengan kemajuan ini, Pak Gembus berhasrat untuk memperluaskan lagi cawangan di serata Malaysia dengan menyasarkan pembukaan lebih 40 cawangan baru yang berpiawaian Halal pada 2025. Tidak terhenti di situ, mereka juga sedang merangka plan strategik untuk membuka cawangan pertama di luar Malaysia. Sebagai tambahan, sidang media ini turut dihadiri Bapak Rido Nurul Adityawan, pengasas Ayam Gepuk Pak Gembus yang berasal dari Indonesia serta Sahibus Samahah Ustaz Jamali Bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah yang turut hadir memberikan ucapan tahniah atas kejayaan ini. Kehadiran mereka memberi semangat dan keyakinan kepada Pak Gembus untuk terus berkembang dan memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia.
Mengenai Ayam Gepuk Pak Gembus – Dibangunkan pada tahun 2013 oleh Rido Nurul Adityawan, kini mempunyai lebih 800 cawangan di Indonesia. Mula bertapak di Malaysia pada tahun 2017, menyasarkan sehingga 250 cawangan pada 2027. Pak Gembus Malaysia terkenal dengan sentuhan unik dan moden terhadap makanan Indonesia yang disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia. Mereka juga merupakan jenama Ayam Gepuk pertama yang telah menerima sijil HALAL dari JAKIM. Di samping itu, Pak Gembus terus memikat pelanggan dengan dedikasi terhadap kualiti, rasa, dan perkhidmatan yang terbaik.
Untuk maklumat lanjut mengenai pensijilan HALAL Ayam Gepuk Pak Gembus dan maklumat lanjut, sila layari https://www.ayamgepukpakgembus.com.my/ atau carian melalui Instagram, Facebook atau TikTok (@ayamgepukmalaysia).