Nampak Sama Tapi Bukan, Ini Beza Tarian Naga & Tarian Singa
Sewaktu perayaan Tahun Baharu Cina, warna merah bagaikan lautan menghiasi jalan-jalan dan ruang persekitaran khususnya di kediaman masyarakat berbangsa Cina.
Salah satu perkara yang mencuri perhatian ketika perayaan ini adalah persembahan tarian dengan mengenakan kostum.
Tetapi, pernah tak anda perasan terdapat perbezaan antara tarian kostum ini, iaitu Tarian Singa dan Tarian Naga.
Sebenarnya, kedua-dua tarian ini mempunyai latar belakang serta tujuan berbeza.
Tarian Naga

Seperti yang diketahui, naga merupakan simbolik dalam budaya masyarakat Cina di seluruh dunia.
Tarian Naga dipersembahkan dengan tujuan untuk dilimpahi tuah, kemakmuran dan diturunkan hujan ketika kemarau.
Menariknya, setiap tarian dibahagikan kepada sembilan bahagian atau kurang, yang memerlukan fleksibiliti para penari untuk menjayakan tarian.
Ia bagi mempamerkan gerakan kostum ini seolah-olah ‘terbang’ di udara dan ‘menyelam’ di dalam laut diikuti tempo muzik yang dimainkan seperti simbal, drum dan gendang besar.
Struktur kostum naga biasanya diperbuat daripada buluh, kayu, kain sutera dan hiasan pada bahagian kepala dan ekor
Setiap warna membawa maksud berbeza seperti, hijau untuk hasil tuaian lebat, kuning empayar khidmat, emas atau perak melambangkan kemakmuran, dan merah adalah kegembiraan.

Sejarah Tarian Naga

Tarian Naga berasal dari budaya Dinasti Han (206 SM-24 AD) dan telah berusia kira-kira 2,000 tahun.
Tarian ini pada awalnya bertujuan sebagai ritual untuk memberi penghormatan kepada nenek moyang serta naga supaya memohon hujan turun ketika kemarau melanda.
Dalam bahasa yang mudah, tarian ini dipersembahkan oleh masyarakat Cina dahulu sebagai ritual kesuburan tanah, ternakan, tanaman dan penyembuhan penyakit.
Seiring peredaran waktu, tarian ini mula dimasukkan dalam setiap perayaan semasa Dinasti Tang (618-907) Dinasti Song (960-1279) dan mula menjadi popular. Kini ia dipersembahkan dalam tradisi budaya Cina dengan konteks berbeza.
Tarian Singa

Dalam budaya Cina, singa adalah simbol keberanian dan perlindungan.
Lazimnya, Tarian Singa dipersembahkan oleh dua orang, yang mengawal bahagian kepala singa serta ekor.
Tarian ini bertujuan untuk menghalau semangat jahat dan memberi tuah baik sepanjang tahun.
Disebabkan itu, tarian ini popular dipersembahkan dalam acara-acara keramaian seperti pembukaan bisnes, sambutan hari lahir, perkahwinan dan majlis penting.
Walau bagaimanapun, Tarian Singa memerlukan kemahiran yang tinggi dan keserasian antara penari dalam melakukan pergerakan akrobatik.
Umumnya, mulut singa dikawal oleh tangan penari, termasuk mata dan telinga yang bersambung dengan tali.
Interaksi bersama penonton seperti mengambil buah oren atau angpau dapat menghiburkan khalayak ramai.
Kostum Singa lazimnya diperbuat daripada bilah buluh, kertas reflektif, labuci, bulu dan cat.
Warna yang digunakan pada maskot juga mempunyai maksud tersirat. Merah melambangkan tuah, kuning melambangkan nasib baik, hijau adalah duit.
Sejarah Tarian Singa

Menurut kepercayaan Cina, tarian telah menjadi tradisi selama lebih seribu tahun lamanya.
Difahamkan, pada awal Dinasti Ming di Guangdong, muncul seekor raksasa yang akan merosakkan tanaman dan membahayakan penduduk setiap kali tahun baru.
Untuk menakutkan raksasa tersebut, penduduk mencipta Tarian Singa, yang akhirnya berjaya menghalau raksasa itu. Sejak itu, singa dianggap mempunyai kuasa ajaib dan membawa nasib baik.
Sumber: Shaolin YunTai, Nations Online, Chinese Dragon, Honeycombers