Siakap Keli
tarif kanada mexico
Kredit: AFP

Trump Tangguh Tarif Ke Atas Kanada, Mexico

Trump Tangguh Tarif Ke Atas Kanada, Mexico Selepas Rundingan Saat Akhir

Amerika Syarikat — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas Kanada dan Mexico selama sebulan bermula Isnin, lapor AFP.

Penangguhan ini berikutan kedua-dua negara jiran tersebut mencapai perjanjian saat akhir dalam mengetatkan kawalan di sempadan negara. Kawalan ini turut melibatkan aliran pendatang asing dan kemasukan dadah fentanil ke AS.

Kadar tarif baharu yang diperkenalkan Trump iaitu sebanyak 25 peratus ke atas eksport dari Kanada dan Mexico mengakibatkan pasaran saham global menjunam. Perkara ini mencetuskan kebimbangan terhadap perang perdagangan global.

Walau bagaimanapun, beberapa jam sebelum tarif tersebut berkuat kuasa, Trump memutuskan untuk membuat penangguhan selepas perbualan telefon bersama pemimpin kedua buah negara itu. Menurut Trump, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mencapai persetujuan untuk penangguhan tersebut.

Katanya lagi, Sheinbaum bersetuju menghantar 10,000 anggota tentera ke sempadan AS-Mexico selepas satu ‘perbualan mesra’ antara mereka.

Begitu juga dengan ketegangan yang berlaku antara AS-Kanada. Trump berkata, beliau ‘sangat gembira’ dengan hasil perbualan telefon tersebut dan memutuskan untuk menangguh pelaksanaan tarif selama 30 hari.

“Kanada telah bersetuju untuk memastikan kita mempunyai sempadan utara yang selamat, dan akhirnya menghentikan ancaman maut dadah seperti fentanil yang mengalir masuk ke negara kita,” ujarnya.

Beliau menambah, rundingan dan perjanjian akhir bakal diteruskan bersama kedua-dua buah negara tersebut.

Dalam pada itu, Trudeau mengumumkan seramai 10,000 anggota tentera Kanada digerakkan ke sempadan negara bagi mengawal keadaan di sana. Malah, Kanada turut menyenaraikan kartel dadah sebagai pengganas selain melantik seorang ‘Czar Fentanil’ dan mengetatkan tindakan keras terhadap aktiviti pengubahan wang haram.

Namun setakat ini, perubahan di sempadan Kanada tidak dapat dipastikan berikutan seramai 8,500 anggota tentera telah digerakkan ke sempadan negara pada Disember lalu.

Peningkatan tarif ini tidak hanya melibatkan Kanada dan Mexico. Malah, antara rakan dagang terbesar AS, China turut berdepan 10 peratus duti ke atas tarif sedia ada. Rundingan akhir antara AS dan China mungkin berlangsung dalam tempoh 24 jam akan datang, menurut Trump.

BACA: Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perintah Eksekutif Ditandatangani Trump

Sumber: AFP

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.