Football Manager 2025 Sah Dibatalkan
Pembangunan permainan video popular, Football Manager 2025 (FM25) akhirnya telah dibatalkan selepas tertangguh sekian lama.
Berita duka tersebut diumumkan sendiri oleh pembangun permainan berkenaan, Sports Interactive menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurut ESPN, tarikh pelancaran FM25 sudah pun diinjakkan sebanyak dua kali.
Namun hari ini, Sports Interactive dengan rasa kesal berkata pihaknya terpaksa membatalkan pelancaran FM25 dan memberi fokus kepada pembangunan edisi 2026.
Selepas dua kali tertangguh, Football Manager 2025 sah dibatalkan
“Untuk mereka yang sudah pun membuat pra-tempahan FM25, kami amat berterima kasih dengan sokongan luar biasa yang anda berikan. Kami mohon maaf.
“Keputusan ini pasti membuatkan anda semua kecewa, lebih-lebih lagi pelancaran FM25 sudahpun ditangguhkan sebanyak dua kali.
“Kami juga memohon maaf kerana mengambil masa yang lama untuk mengumumkan keputusan ini.
“Selepas isu-isu melibatkan pemegang taruh, perundangan dan kewangan berjaya diselesaikan, kami segera membuat pengumuman kepada semua,” kata Sports Interactive.
Tambah kenyataan itu lagi, pasukan pembangun tidak berjaya mencapai hasil yang dimahukan dalam tempoh yang ditetapkan selepas berdepan pelbagai cabaran.
Manakala ujian awal yang dilakukan bersama pengguna juga mendapat maklum balas yang kurang memuaskan.
Tumpuan untuk pelancaran edisi 2026
“Kami boleh melancarkan FM25 seperti yang dijadualkan dan melakukan penambahbaikkan kualiti permainan selepas itu.
“Tetapi, kami fikir itu bukanlah perkara yang tepat untuk dilakukan. Kami juga tidak bersedia untuk menangguhkan pelancaran sehingga Mac kerana ia terlalu lambat memandangkan musim liga sudah lama bermula,” kata Sports Interactive lagi.
Dalam pada itu, pembatalan tersebut akan membolehkan pasukan pembangun memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan membuat persediaan untuk pelancaran edisi 2026.
Menurut ESPN, FM25 sepatutnya dilancarkan pada November tahun lepas. Edisi tersebut akan menjadi edisi pertama yang menampilkan pasukan dan pemain wanita dalam permainan Football Manager.
Pembatalan musim 2024/25 ini juga menyaksikan buat kali pertama tiada Football Manager baru sejak ia kali pertama dilancarkan pada musim 2004/05.
BACA: Hebat, Murid PASTI Muncul Juara Dunia Pidato Bahasa Inggeris
BACA: Anak Curi Barang Kemas Ibu RM600,000 & Jual Hanya RM36
Sumber: ESPN