Siakap Keli
petua simpan cili bawang kisar
Kredit: Lia Kamalia

Petua Simpan Cili & Bawang Kisar Mentah Buat Kegunaan Bulan Ramadan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Petua Simpan Cili & Bawang Kisar Mentah Buat Kegunaan Bulan Ramadan

Ketibaan bulan puasa pasti membuatkan ramai antara kita mula ligat fikirkan cara yang menjimatkan masa di dapur. Sama ada untuk berbuka puasa mahupun bersahur. Bukan hanya mereka yang bekerja mengikut waktu pejabat ingin menjimatkan masa, suri rumah juga menginginkan masa lebih untuk diluangkan menjalani ibadah di bulan mulia ini.

Proses memasak di atas api kebiasaannya tidak memerlukan masa yang panjang tetapi persiapan sebelum itu yang memakan masa. Begitu juga proses mengemas selepas memasak. Namun, untuk proses mengemas, agak sukar untuk mencari jalan pintas melainkan anda ada mesin basuh pinggan mangkuk.

Jadi, setiap tahun, ada saja pelbagai petua dikongsi bagi membolehkan proses persiapan sebelum memasak tidak mengambil masa yang panjang. Melihat kepada ramuan hidangan di sini, kebanyakan masakan kita menggunakan bawang merah, bawang besar, bawang putih dan juga cili.

Sudah ramai yang berkongsi cara menjimatkan masa dengan mengisar bahan-bahan ini menjadi pes supaya boleh disimpan untuk kegunaan hari-hari mendatang. Namun, masih kurang yang berkongsi petua menyimpan cili dan bawang kisar mentah dengan baik supaya boleh bertahan lama.

Sebelum ini, min pernah kongsikan cara buat stok sambal belacan. Kali ini, min ingin kongsikan dengan para pembaca petua daripada salah seorang ahli kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini, Lia Kamalia.

Bukan hanya satu petua, tetapi wanita tersebut turut berkongsi tiga petua yang merangkumi cara membuat dan menyimpan cili, bawang merah serta bawang putih kisar.

Pertama sekali, kita siapkan dahulu cili kisar. Gunting cili kering lebih kurang satu inci dan masukkan ke dalam penapis berlubang. Anda perlu menggunakan penapis yang mempunyai lubang besar supaya mudah membuang biji cili kering tadi.

Kemudian, masukkan cili kering yang sudah siap ke dalam periuk untuk direbus sehingga mendidih. Jangan lupa untuk taburkan satu sudu besar garam ke dalam rebusan. Kacau sebentar dan biarkan mendidih. Apabila air rebusan sudah mendidih, tutup api dan keluarkan cili tadi.

Gunakan penapis yang sama untuk bilas cili menggunakan air paip. Cara ini lebih mudah untuk membuang baki biji cili kering.

Setelah selesai, masukkan cili ke dalam mesin pengisar.

“100 gram cili kering kisar bersama tiga biji bawang besar dan satu labu bawang putih (lapan atau sembilan ulas),” pesan Lia.

Kisar cili bersama air tapis hingga lumat. Apabila cili sudah dikisar, tuang ke dalam bekas yang sesuai untuk disimpan di dalam peti sejuk. Masukkan sedikit asam keping sebelum menutup bekas tersebut.

Menurut Lia, cili kisar ini boleh bertahan hingga sebulan.

Seterusnya kita lihat pula cara membuat bawang merah kisar. Ambil enam biji bawang besar dan 10 biji bawang kecil. Kupas dan bersihkan seperti biasa kemudian, hiris kecil-kecil. Masukkan bawang ke dalam mesin pengisar dan kisar bersama minyak masak. Bagi petua ini, anda tidak perlu menggunakan air untuk mengisar bawang.

“Anggaran minyak masak adalah separuh daripada jumlah bawang. Jika bilangan bawang penuh satu mesin pengisar, gunakan minyak anggaran setengah mesin,” tambahnya.

Setelah siap mengisar, masukkan bawang ke dalam bekas yang sesuai. Taburkan satu sudu garam di atas permukaan bawang kisar sebelum simpan di dalam peti ais. Tak perlu kacau garam dengan bawang kisar. Dengan cara ini, bawang kisar mentah ini dapat bertahan selama satu hingga dua minggu.

Petua terakhir yang dikongsikan Lia ialah cara membuat bawang putih kisar. Kupas lima labu bawang putih dan bersihkan seperti biasa kemudian hiris kecil-kecil. Masukkan bawang putih ke dalam mesin pengisar dan kisar bersama minyak masak. Seperti juga bawang merah tadi, jangan gunakan air untuk mengisar bawang putih. Begitu juga dengan jumlah minyak masak, tuang mengikut anggaran separuh daripada jumlah bawang putih.

Apabila siap dikisar, tuang bawang putih ke dalam bekas yang sesuai dan taburkan satu sudu garam di atas permukaan. Jangan kacau garam dan bawang putih. Tutup bekas, kemudian simpan di dalam peti sejuk. Cara ini juga boleh menjadikan bawang putih kisar mentah bertahan selama satu hingga dua minggu.

Selamat mencuba.

Sumber: Lia Kamalia via Masak Apa Hari Ini

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.