Siakap Keli
Anak 9 tahun masuk asrama
Kredit: TikTok @mommysaurus88

Ibu Sebak Kongsi Anak 9 Tahun Terpaksa Masuk Asrama 

Ibu Sebak Kongsi Anak 9 Tahun Terpaksa Masuk Asrama 

Tiada ibu bapa di dunia ini yang rela berpisah dengan anak tersayang, apatah lagi ketika mereka masih kecil.

Pada usia ini, mereka masih ‘merangkak’ mengenali dunia dan memerlukan sokongan serta kasih sayang setiap masa.

Setiap ibu bapa pasti mahu melihat anak membesar di depan mata, merakam setiap detik berharga, dari langkah pertama hinggalah ke kejayaan pertama mereka.

Namun, ada ketikanya, keputusan sukar terpaksa dibuat.

Demi masa depan yang lebih cerah, ada ibu bapa yang terpaksa mengetepikan perasaan sendiri dan melepaskan anak mereka ke sekolah berasrama.

Ini bukan kerana mereka mahu berjauhan, tetapi kerana mereka mahu memberikan yang terbaik.

Ini termasuk peluang pendidikan yang lebih teratur, disiplin yang lebih tinggi dan pengalaman yang mungkin tidak diperoleh di rumah.

Sebab itulah dikatakan, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai harganya, kerana dalam setiap keputusan sukar yang dibuat, mereka hanya mahu satu perkara, iaitu melihat anak mereka berjaya.

“Mommy minta maaf terpaksa hantar Faliq tinggal di asrama seawal usia 9 tahun”

Baru-baru ini, seorang ibu dikenali sebagai @mommysaurus88 di TikTok berkongsi kisah menyentuh hati tentang anaknya, Faliq, yang baru berusia 9 tahun tetapi sudah perlu tinggal di asrama.

Video tersebut menjadi tular dan mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Dalam video yang dikongsikan, ibu ini mengambil anaknya pulang selepas minggu pertama di asrama.

Namun, apa yang benar-benar meruntun hati adalah apabila ‘seseorang’ yang amat merindui Faliq terus berlari dan memeluknya erat sebaik bertemu, iaitu adiknya sendiri.

@mommysaurus88

Mommy minta maaf terpaksa hantar Faliq tinggal di asrama seawal usia 9tahun. Mommy rindu Faliq separuh nyawa. Mungkin Faliq struggle untuk minggu pertama, its okey sayang ramai doakan Faliq. Tolong doakan mommy sekali 🤭 Mommy still nangis tepi bucu katil stiap mlm #anakpulau

♬ bunyi asal – اييم شافينا – اييم شافينا

Menurut si ibu, keputusan menghantar Faliq ke asrama bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, atas faktor keselamatan, ini adalah langkah terbaik.

Mereka tinggal di kawasan pulau, dan satu-satunya cara ke sekolah adalah dengan menaiki bot setiap hari.

“Kami di kampung perlu berulang-alik dengan bot untuk ke sekolah. Kalau cuaca tak baik, anak-anak terpaksa ponteng. Bahaya juga kalau redah dalam keadaan cuaca buruk,” jelasnya.

Disebabkan itu, ramai anak dari kawasan pedalaman dan pulau sudah biasa tinggal di asrama bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Anak pulau dan pedalaman memang hebat jiwanya”

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut berkongsi pengalaman masing-masing yang terpaksa berkorban demi menuntut ilmu.

“Saya dan adik-beradik masuk sekolah berasrama penuh sebab kami orang susah. Rumah sempit, bilik tidur pun tak ada. Jadi ayah hantar ke asrama supaya ada tempat tidur yang selesa,”

“Hanya Allah tahu betapa luluhnya hati seorang ibu melepaskan anak pergi belajar jauh. Tapi ilmu tak boleh diwariskan, jadi demi masa depan, mak ayah kena buat keputusan terbaik,”

“Anak pulau dan pedalaman memang hebat jiwanya. Moga adik ini kuat dan berjaya di masa hadapan,”

Sesungguhnya, tidak semua orang memahami keputusan berat yang terpaksa dibuat oleh ibu bapa.

Namun, demi melihat anak berjaya, mereka sanggup mengorbankan perasaan sendiri.

Semoga anak-anak yang menuntut ilmu dipermudahkan segala urusan, dan semoga setiap pengorbanan ibu bapa dibalas dengan kejayaan anak-anak.

BACA: Treler “Keluang Man” Buat Ramai Teruja

BACA: Disangka Sakit Gigi Biasa, Lelaki Meninggal Dunia Usai ‘Ditidurkan’

BACA: “Sampai 28kg”, Minah Saleh Kongsi Makanan Di Bawa Pulang Dari Malaysia

Sumber: Dian Diyana via TikTok

Siti Nur Ain Natasya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.