Siakap Keli
Cip AI buatan Malaysia
Gambar: BERNAMA

Malaysia Bakal Hasilkan Cip AI “Buatan Tempatan”

Malaysia Bakal Hasilkan Cip AI “Buatan Tempatan”

Kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Holdings Plc dalam industri semikonduktor bakal membawa kepada pembangunan teknologi paling bercita-cita tinggi, menjadi pemacu utama pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) buatan tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi kerjasama ini, cip berteknologi tinggi akan direka bentuk, dikilangkan, diuji dan dipasang di Malaysia sebelum dipasarkan ke seluruh dunia.

Menurut beliau, inisiatif ini menandakan kemajuan penting dalam industri cip negara, sejajar dengan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Tambah beliau, kerjasama ini mempunyai tiga ciri utama, iaitu latihan tenaga pakar tempatan, pemilihan syarikat tempatan, dan fasilitasi pembangunan produk semikonduktor tempatan.

“Pertamanya, ia akan mewujudkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera rekaan litar sepadu, memastikan ruang untuk melahirkan bakat yang mantap bagi industri semikonduktor.

“Kedua, ia akan syarikat Malaysia yang terpilih, akses kepada teknologi termaju dan portfolio Arm. Dan ketiga, ia akan memangkin perkembangan produk semikonduktor buatan tempatan, memajukan lagi sasaran negara untuk menghasilkan cip yang lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor di ibu negara pada Rabu.

BACA: Sikap Individu Yang Mempersendakan Islam – Ketua Pengarah JAKIM

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam temu bual bersama Bloomberg baru-baru ini, menyatakan bahawa perjanjian ini akan menyaksikan Arm Holdings Plc membekalkan reka bentuk dan teknologi cip kepada Malaysia selama 10 tahun.

Kerajaan juga mengambil langkah strategik dengan bekerjasama bersama Arm bagi membangunkan ekosistem semikonduktor yang lengkap di negara ini.

Melalui usaha ini, Malaysia dijangka dapat mempercepatkan matlamatnya untuk menghasilkan cip buatan sendiri, selain mewujudkan sehingga 10 syarikat cip yang berpotensi menjana pendapatan tahunan mencecah AS$20 bilion.

Sektor ini juga diunjurkan menyumbang satu mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

BACA: Kenyataan Rasmi MCMC Berhubung Kes Harith Iskander, Cecelia Yap

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa selain menyediakan lesen paten dan kepakaran kepada negara, Arm juga bakal membuka pejabat ASEAN pertamanya di Kuala Lumpur.

Pejabat ini dijangka menjadi pusat operasi bagi pengembangan pasaran Arm ke Australia dan New Zealand.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada kerjasama rentas Kementerian yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan kerjasama ini.

Antaranya ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menyediakan rangka kerja pelaburan yang kompetitif.

Selain itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menerajui pemeteraian perjanjian serta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi di atas penjajaran insentif kewangan dan mampan.

BACA: Isu Pengacara Radio: Polis Sedang Lengkapkan Siasatan – Ketua Polis Negara

Sumber: Astro Awani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.