Israel Sekat Bekalan Elektrik Ke Gaza
Israel telah memutuskan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza atas arahan Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, sekali gus memburukkan lagi keadaan di wilayah itu yang sedang berdepan krisis kemanusiaan pada bulan Ramadan.
Dalam satu kenyataan di platform X, Cohen mengumumkan bahawa beliau telah menandatangani arahan untuk menghentikan serta-merta bekalan elektrik ke Gaza.
“Cukuplah bercakap, kini tiba masanya untuk bertindak,” tulisnya ringkas.
Tindakan ini menyusul lebih seminggu selepas Israel menyekat sepenuhnya bekalan barangan ke wilayah tersebut, menjejaskan kehidupan lebih dua juta penduduk Gaza.
Rundingan gencatan senjata fasa kedua
Keputusan Israel itu dibuat ketika perbincangan mengenai gencatan senjata dijangka disambung semula.
Israel mahu melanjutkan fasa pertama perjanjian tiga fasa yang dipersetujui sebelum ini.
Di sisi lain, Hamas bertegas agar proses perjanjian memasuki fasa kedua seperti yang telah dipersetujui.
Penganalisis berpendapat keengganan Israel untuk meneruskan fasa kedua menunjukkan niatnya untuk terus mengekalkan kehadiran tenteranya di Koridor Philadelphi, satu kawasan sempit yang memisahkan Gaza dan Mesir.
Hamas mengutuk tindakan Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza, menyifatkannya sebagai satu bentuk “ugut-mengugut yang murah dan tidak boleh diterima”.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan mereka memutuskan bekalan elektrik ke Gaza selepas sekian lama menafikan akses kepada makanan, ubat-ubatan dan air,” kata anggota biro politik Hamas, Ezzat al-Rishq.
Krisis kemanusiaan bertambah parah
Sekatan sepenuhnya oleh Israel telah menyebabkan banyak premis dan kedai roti di Gaza terpaksa ditutup, menyukarkan penduduk mendapatkan makanan asas.
Menurut wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary, walaupun serangan udara besar-besaran telah reda, keadaan di Gaza masih ‘kritikal’ dengan penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan.
“Makanan, air dan elektrik – semua aspek kehidupan rakyat Palestin kini terjejas teruk,” lapornya dari Gaza City.
Hamas berulang kali menggesa rundingan segera mengenai fasa kedua gencatan senjata.
Sumber Hamas memaklumkan bahawa delegasi mereka telah bertolak ke Doha, Qatar selepas mengadakan perbincangan di Kaherah, Mesir.
Sementara itu, wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum melaporkan bahawa Hamas telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa teknokrat bebas bagi mentadbir Gaza, selain terus mendesak kemasukan bantuan kemanusiaan dan pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa delegasi Israel akan ke Doha pada Isnin bagi meneruskan rundingan.
BACA: Bapa Meninggal Dunia Selepas Bertemu Anak Dibebaskan Israel
BACA: Arab Saudi Catat Rekod Tertinggi Kehadiran Jemaah Umrah Sehari
BACA: Gabenor New York Isytihar Darurat
Sumber: Al Jazeera