Bas Bawa 39 Penumpang Dilapor Kemalangan
Sebuah bas ekspres yang membawa 39 penumpang dan seorang pemandu terbabas di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi, mengakibatkan lapan individu cedera.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.01 pagi.
Susulan itu, pasukan penyelamat segera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurut Komander Operasi, PBK II Amer Izham Mokthar, kejadian tersebut melibatkan 28 wanita dan 12 lelaki dewasa.
“Enam mangsa wanita dewasa mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta anggota Unit EMRS JBPM,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua lelaki yang turut cedera telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan enam balai bomba berhampiran, iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, BBP Kota, BBP Tampin, BBP Senawang, BBP Seremban dan BBP Seremban 2, dengan kekuatan seramai 26 anggota.
“Kami menggerakkan dua jentera FRT, satu jentera LFRT, dua kenderaan EMRS dan satu kenderaan RRV bagi membantu operasi menyelamat,” tambahnya.
Operasi berjaya dikawal pada pukul 6.25 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.25 pagi. Kes kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
BACA: Pensyarah UiTM Jasin Maut Dalam Nahas Jalan Raya
BACA: Penutupan Jalan Berperingkat Sempena Perayaan Masi Magam – PDRM
BACA: 21 Unit Darah Selamatkan Nyawa Ibu Tumpah Darah Selepas Bersalin
Sumber: Berita RTM