Kenali Jupiter, Kisah Kucing Kesayangan Yang Pernah ‘Dibuang’
Bila sebut tentang kucing, tentu ramai di antara kita menyukai si bulus ini kan?
Sifatnya yang penuh manja dan kadangkala nakal membuatkan sesiapa sahaja jatuh hati serta tak kering gusi.
Setiap kucing yang dipelihara tentunya mempunyai latar belakang dari mana ia datang, seperti membeli di kedai haiwan, pemberian rakan ataupun menjaganya selepas di ‘buang’.
Namun lain pula kisah seekor kucing ini yang dikenali sebagai Jupiter.
Jupiter Kisah Kucing Kesayangan yang Ditinggalkan

Ceritanya bermula apabila Jupiter, seekor kucing yang pernah merasai kehangatan kasih sayang dan keselesaan tinggal bersama pemiliknya di rumah terpaksa menjalani detik-detik hitam dalam kehidupannya.
Segala belaian kasih sayang itu hilang selepas keluarganya berpindah tanpa membawanya bersama, meninggalkan Jupiter di tepian jalanan.
Selama hampir empat tahun, Jupiter bertahan dalam kesepian, merayau tanpa arah, mencari sisa makanan untuk mengisi perut yang lapar dan tempat berlindung daripada kesejukan malam di antara kucing-kucing liar lain.
Sudah tentu, ini merupakan satu dunia asing baginya setelah bertahun-tahun dimanjakan dengan kasih sayang.
Setiap hari, Jupiter masih berharap akan ada seseorang yang akan menyelamatkannya dan memberinya peluang untuknya merasakan semula kasih sayang dari seorang pemilik.
Tidak berputus asa kembali ke ‘rumah’

Kerana kerinduannya terhadap ‘rumah’ begitu mendalam, Jupiter pada satu hari telah cuba memasuki (ceroboh) kediaman seorang penduduk, seolah-olah merayu untuk diterima semula ke dalam kehidupan yang pernah dimilikinya.
Gelagat Jupiter itu membuatkan Jaina, seorang penyelamat haiwan dari Cats of San Bernardino tersentuh hati melihat si bulus yang begitu dahagakan kasih sayang itu.
BACA: Kisah Stuckie, Mumia Anjing Yang Terperangkap Dalam Batang Pokok
Pertemuan dengan Jaina ini, bermulalah perjalanan baru buat hidup Jupiter apabila dia dibawa ke hospital veterinar untuk diberikan rawatan, berikutan keadaannya yang menyedihkan.
Menakjubkan, selepas menerima rawatan, tahap kesihatan Jupiter semakin bertambah baik dalam waktu yang singkat dan kembali ‘manja’
Keluarga Baharu Jupiter

Sewaktu tinggal di rumah haiwan, kisah Jupiter menyentuh hati ramai orang, sehinggalah pasangan suami isteri dari California Utara berniat membawanya kembali ke rumah.
Bahkan, pasangan itu sanggup melakukan perjalanan jauh untuk membawa Jupiter pulang dan memberinya kehidupan yang lebih baik.
Kini, Jupiter kembali menikmati hari-harinya dipenuhi belaian kasih sayang yang telah lama hilang.
Sumber: Animals Around The Globe