Siakap Keli
ka tutup kilang
Kredit: X Khairul Aming

KA Raikan Pekerja Lagi, Bawa Beli-Belah & Bagi Duit Raya

KA Raikan Pekerja Lagi, Bawa Beli-Belah & Bagi Duit Raya

Seperti tahun-tahun sebelum ini, pempengaruh dan usahawan muda, Khairul Aming atau lebih mesra dipanggil KA menutup kilang miliknya bagi memberi ruang dan peluang kepada para pekerja membuat persiapan raya pada Isnin.

Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan hampir 100 orang pekerja KA dibawa ke gedung pakaian, pasaraya dan hotel bagi majlis berbuka puasa.

“Semalam kita tutup kilang untuk meraikan pekerja-pekerja Khairul Aming di bulan Ramadan. Jadi ini rutin wajib yang KA akan buat setiap tahun untuk menghargai pekerja-pekerja kita. Pekerja saya ni ramai, nak dekat 100 orang. Jadi pergi mana-mana pun kena rancang. Macam rombongan Cik Kiah punya ramai tu,” seloroh KA.

Destinasi pertama yang dituju tentulah gedung pakaian buat memilih baju raya.

“Jadi pertama sekali kita selesaikan pekerja punya baju raya. Macam biasa, setiap tahun pilih sahaja nak warna apa, corak apapun tak kisah.

“Yang penting, lelaki dapat satu set lengkap baju dan bersamping. Perempuan pula dapat set lengkap baju kurung dan kain tudung,” ujarnya.

baju raya 2024
Kredit: X Khairul Aming

Setelah selesai urusan di sana, KA membawa para pekerjanya ke pasaraya bagi membeli-belah barang dapur.

“Bahagian ni yang paling aku suka sebab boleh tengok ragam seorang demi seorang. Ada yang kenal barang dapur, ada yang tak kenal. Masa ni lah dia hubungi mak akak dekat kampung, lepas tu hubungi isteri, adik-beradik tanya barang apa lagi tak cukup.

“Masing-masing akan penuhkan troli. Ada yang ambil lampin pakai buang, ada yang ambil beras. Ada juga yang ambil bahan untuk buat resipi bos dia. Awas kalau tak jadi nanti,” jenakanya lagi.

Menurut KA lagi, disebabkan pembelian barang keperluan raya kali ini lebih banyak berbanding sebelum ini, KA memutuskan untuk menyewa sebuah lori bagi memudahkan urusan pekerjanya membawa barang-barang yang telah dibeli.

Kredit: X Khairul Aming

Selepas puas membeli-belah, KA mula mengagihkan duit raya buat para pekerjanya. Bukan biasa-biasa, setiap sampul raya dilihat tebal berisi wang kertas berwarna ungu. KA turut menyediakan sebekas duit raya dan sampul raya rasmi buat semua pekerjanya bawa pulang.

Di sebelah malam, pekerja KA dibawa ke sebuah hotel untuk berbuka puasa dengan menikmati hidangan mewah. Sebelum menamatkan rakaman tersebut, KA sempat untuk meluahkan harapannya agar berpeluang menghargai para pekerja seperti ini lagi.

“Alhamdulillah semua gembira. KA pun gembira dapat berkongsi dengan semua pekerja. Harap-harap tahun depan dan tahun seterusnya, kita dapat buat lagi macam ni,” katanya.

https://x.com/khairulaming/status/1904391820781793785

BACA: Khairul Aming Catat Rekod, Dapat 100 Juta “Like” Ketika “Live”

Sumber: X Khairul Aming

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.