Khairul Aming Catat Rekod, Dapat 100 Juta “Like” Ketika “Live”
Di saat rakyat dalam keadaan memerlukan, ramai pihak turun padang memberi bantuan buat mereka yang terkesan dengan bencana banjir. Bukan hanya agensi-agensi kerajaan, malah syarikat dan pihak persendirian turut menghulurkan bantuan.
Ada yang membantu dari sudut kewangan, ada yang menghulurkan keperluan asas, malah ada juga yang menggunakan tulang empat kerat menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan yang terperangkap.
Tidak terkecuali, pempengaruh dan pengusaha terkenal, Khairul Aming yang sudah beberapa hari menyalurkan bantuan buat rakyat di negeri yang terkesan dengan bencana tahun ini, Kelantan Darul Naim.
BACA: Khairul Aming ‘Turun Padang’, Agih Bantuan Makanan Untuk Mangsa Banjir Di Kelantan
Kehadiran Khairul Aming atau lebih mesra dipanggil KA mendapat perhatian khalayak. Bantuan yang dihulurkan tidak hanya praktikal malah memudahkan mangsa banjir seperti pemberian makanan sedia untuk dimakan.
Seperti sebelumnya, KA sentiasa mengadakan siaran langsung di laman TikTok ketika turun padang menghulurkan bantuan bersama pasukan sukarelawannya. Malam ini menyaksikan catatan rekod baharu apabila siaran langsung KA menerima 100 juta tanda suka daripada 49.8 ribu penonton di TikTok.
BACA: Dendeng & Sambal Nyet Khairul Aming Dapat Sijil Halal JAKIM
Terdahulu, KA memuat naik permulaan operasi pemberian bantuan di media sosial miliknya pada 29 November yang lalu. Bermula dari saat itu, KA masih kekal berada di lapangan sehingga ke hari ini bagi mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Baru tiba di Kelantan. Hari ni kita mulakan bantuan banjir ke pusat pemindahan. Petang ni kita selesaikan makanan di Pasir Mas dahulu. Pekerja saya akan beli dan sediakan barang-barang keperluan asas dan esok kita akan hantar dengan lori ke PPS. Ada ribuan mangsa yang tak cukup keperluan sekarang ni,” maklumnya.
BACA: “Satu keluarga akan dapat..”, Khairul Aming Kongsi Apa Mangsa Banjir Peroleh
Dalam pada itu, Pengarah Urusan syarikat pasaraya tempatan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin telah memberikan kebenaran kepada KA bagi mengambil sebanyak mana pun barangan yang diperlukan untuk diedarkan.
“Ambil sebanyak mana barang yang diperlukan, tak perlu risau pasal kad kredit atau hantar orang, 20,000 atau 100,000, lepas banjir baru bayar,” ujar beliau.
Sumber: Khairul Aming